sektor ekonomi muhyiddin majlis pemulihan negeri muhyiddin yassin

Bajet 2022:Komitmen kerajaan bantu semua yang terjejas-Muhyiddin

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

BAJET 2022 adalah satu bukti jelas yang menunjukkan komitmen kerajaan untuk memastikan kesinambungan konsep Prihatin Rakyat dalam menyalurkan bantuan terus kepada golongan yang terkesan.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semua pihak tidak akan tertinggal sama ada individu mahupun perniagaan dalam semangat kebersamaan Keluarga Malaysia.

“Saya percaya bajet yang telah dibentangkan ini akan memastikan segala bentuk bantuan dan sokongan yang diumumkan sampai kepada sasaran, lebih-lebih lagi kepada semua pihak dan sektor yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

“Ini amat penting dalam memastikan kejayaan tahun 2022 sebagai tahun pemulihan untuk Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika hadir Bagi membentangkan bajet 2022 di Parlimen, semalam. GAMBAR: Jabatan Penerangan

Beliau yakin, bajet itu akan terus memperkasa usaha-usaha pemulihan negara di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sedang dijalankan dengan berpaksikan tiga strategi utama iaitu memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan.

Bajet itu katanya, akan terus menyokong pemulihan negara melalui dasar fiskal yang mengembang dan dirangka berdasarkan keutamaan untuk memulihkan negara daripada kesan jangka panjang krisis pandemik terhadap sistem kesihatan awam serta struktur ekonomi.

“Ini adalah cerminan tekad kerajaan untuk mengembalikan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama,” katanya yang juga bekas Perdana Menteri.

Bajet 2022

Muhyiddin berkata, peruntukan kedua terbesar yang diberikan kepada Kementerian Kesihatan amat tepat bagi memacu pemulihan negara ke fasa endemik.

Justeru belia berharap, penekanan pada sektor kesihatan bukan sahaja mampu menampung fasa endemik tetapi juga memperkukuh sistem kesihatan negara untuk menghadapi cabaran pandemik lain pada masa depan termasuk daripada segi kapasiti hospital, fasiliti dan kepakaran.

Peruntukan paling besar sebanyak RM52.6 bilion kepada Kementerian Pendidikan pula katanya, menunjukkan keutamaan kerajaan terhadap aspek pembangunan modal insan termasuk penyediaan fasiliti dan akses pembelajaran yang masih menjadi masalah utama bagi murid di luar bandar.

“Saya berharap dana yang diperuntukkan misalnya untuk membaiki sekolah daif dapat disalurkan ke sekolah yang benar-benar memerlukan, yang belum pernah mendapat bantuan kerajaan.

“Saya menyeru semua rakyat Malaysia dapat bersatu padu dalam memastikan usaha pemulihan negara berjalan lancar dan kita semua dapat kembali merancakkan pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat demi mencapai aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *