identiti digital nasional Hamzah Zainudin

Akta 342 terpakai seluruh negara, bukan untuk PRN Melaka sahaja

MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin memberitahu, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) terpakai di seluruh negara dan bukan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Sebarang perhimpunan termasuk politik yang didapati berlaku perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) akan diambil tindakan mengikut Akta 342.

“Akta 342 masih terpakai sama ada pilihan raya atau tidak, semua tempat terpakai. Bukan hanya di Melaka.

“Yang ada dalam Akta 342 itu masih terpakai yang diumumkan dari semasa ke semasa oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). Kalau SOP yang dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), itu lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang, Melaka, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim.

Menurut Hamzah, selain parti politik, mana-mana kumpulan yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) akan diambil tindakan.

Mengenai persiapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang PRN Melaka, Hamzah berkata, beberapa perancangan dibuat dalam menjamin keselamatan dan keselesaan mereka yang berada di Melaka.

“Turut dibincangkan bagaimana keanggotaan sama ada cukup atau tidak dan penggunaan dron selain terdapat agensi kerajaan lain yang akan bantu.

“Melihat persediaan untuk PRN dibuat oleh Kontinjen Melaka, ia dalam keadaan baik dan siap sedia” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *