57,635 peladang dapat manfaat daripada Peladang-i

Oleh RIZQI ZABIDI

LEMBAGA Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menyambut baik langkah kerajaan untuk memberi perlindungan takaful kepada semua ahli Pertubuhan Peladang Kebangsaan (PPK) seluruh negara di bawah Skim Perlindungan Takaful Kad Pintar Keluarga Peladang (Peladang-i) dengan peruntukan sebanyak RM5 juta seperti diumumkan dalam pembentangan Bajet 2022 semalam.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, langkah tersebut dijangka akan turut memanfaatkan seramai 57,635 peladang yang mengusahakan sawah seluas 100,658 hektar dalam pentadbiran 27 PPK MADA.

“Kad Peladang-i ini mempunyai gabungan ciri-ciri tiga dalam satu menerusi kad debit Co-Brand Agrobank.

“Kami menyambut baik inisiatif berkenaan. Kad itu juga akan dijadikan sebagai kad identiti berkonsepkan transaksi perbankan moden yang turut dilengkapi manfaat perlindungan takaful hingga RM5,000, sekali gus memberi manfaat tambahan kepada peladang di kawasan MADA,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu Ahmad Tarmizi berkata, pengumuman pemberian subsidi dan insentif bagi industri pertanian dan perikanan yang diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM1.7 bilion, diyakini turut membantu pesawah untuk mengurangkan kos operasi ladang.

“Antara yang akan membantu adalah peruntukan RM1.5 bilion bagi subsidi benih, baja, harga dan pengeluaran padi termasuk subsidi padi huma sebanyak RM40 juta,” katanya.

Tambahnya, pembentangan Bajet 2022 membuktikan keprihatinan kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ dalam mentransformasikan sektor pertanian supaya menjadi sektor yang lebih moden dan dinamik.

“Langkah ini bakal membantu negara menjadi lebih kompetitif sebagai pengeluar utama makanan sekali gus menjadikan sektor pertanian sebagai salah satu jentera pertumbuhan ekonomi negara,” katanya. – SB


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *