PH MUDA ego

PRN Melaka: PH selesai agih kerusi, MUDA ‘kempunan’

PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang masih belum disahkan pimpinan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman seolah-olah dilayan seperti melukut di tepi gantang oleh Pakatan Harapan (PH).

Hari ini, jelas terbukti bahawa khidmat parti setahun jagung itu tidak diperlukan oleh PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa kesemua 28 kerusi DUN di Melaka akan ditandingi oleh calon-calon dari PKR, PAN dan DAP sahaja dan mereka semua menggunakan logo PH.

PKR akan bertanding di 11 kerusi, PAN sembilan kerusi manakala DAP diberi lapan kerusi.

”Pembahagian kerusi dalam amalan politik bersama parti-parti ini, satu proses yang panjang, dari peringkat DUN ke peringkat negeri dan negeri diberikan ruang yang panjang untuk berbahas dan memuktamadkan.

“Selepas itu barulah dikemukakan ke jawatankuasa khas mewakili pimpinan parti sebelum dibawa ke Majlis Presiden.

“Setakat ini keputusan kita DAP kekal lapan, Amanah, sembilan dan PKR, 11,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR di Kuala Lumpur, hari ini.

Sidang media itu turut dihadiri Presiden PAN, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Kelmarin, Syed Saddiq dalam sidang media di Melaka menyatakan kesediaan MUDA meletakkan calon mewakili PH pada PRN Melaka.

Walau bagaimanapun, hasrat MUDA itu dibantah oleh Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad yang secara terbuka menyatakan kesangsiannya terhadap motif MUDA meletakkan calon mewakili PH.

Pada pandangan beliau, sudah memadai bagi PH meletakkan calon-calon dari PKR, DAP dan PAN sahaja di Melaka.

Pada masa yang sama, Anwar ketika ditanya mengenai hasrat pihak-pihak di luar PH yang ingin bertanding di bawah tiket pakatan pembangkang itu berkata, perbincangan masih berlangsung.

Tidak dapat dipastikan sama ada perbincangan itu melibatkan empat bekas ADUN Melaka yang berpaling tadah iaitu Datuk Seri Idris Haron, Datuk Nor Azman Hassan, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan Datuk Nor Effandi Ahmad serta MUDA.

Sekiranya mereka dibenarkan bertanding di bawah tiket PH, kerusi kuota parti mana pula yang akan dikorbankan? PKR, PAN atau DAP?

Sudah pasti akan berlaku insiden berebut kerusi yang amat dahsyat dalam PH lebih-lebih di kerusi-kerusi yang kononnya mereka boleh menang jika senario itu berlaku.

Seperkara lagi, Anwar kata pembahagian kerusi sudah selesai tetapi mengapa masih ada perbincangan?


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *