pelantikan

Muhammad Sanusi tak tanding jawatan Naib Presiden Pas

Oleh RIZQI ZABIDI

WALAUPUN menerima pencalonan mencukupi yang melayakannya bertanding jawatan Naib Presiden, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor memutuskan untuk tidak merebut jawatan itu dalam pemilihan parti menjelang Muktamar Pas ke-67 pada 6 dan 7 November depan.

Bercakap kepada Warta Rakyat, Muhamad Sanusi secara merendah diri menyifatkan masih ramai lagi individu yang layak untuk berada di kedudukan tersebut daripada dirinya.

“Saya dah jawab kepada jawatankuasa pemilihan untuk tidak bertanding.

“Untuk pemilihan akan datang, saya akan bertanding jawatan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat saja sebagai meraikan pencalonan daripada Pas kawasan dan bukannya merebut kerusi Naib Presiden,” katanya.

Portal Harakah Daily hari ini mendedahkan senarai nama individu yang layak untuk bertanding pada pemilihan dalam muktamar itu nanti.

Selain tiga penyandang jawatan Naib Presiden iaitu Senator Idris Ahmad, Datuk Seri Dr. Samsuri Mokhtar dan Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah, nama Muhammad Sanusi turut dipaparkan sebagai individu yang layak merebut jawatan itu bersama seorang lagi Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki.

Ketika ini Muhammad Sanusi turut memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat.

Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, beliau merasakan gandingan naib presiden sedia ada sudah cukup baik untuk memimpin parti itu.

“Jawatan ini bukan satu keistimewaan sebaliknya hadir bersama tanggungjawab berat. Jadi siapa yang rasa tiada kemampuan, tak perlulah masuk,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *