DAP Amanah Paya Rumput PH PRN Melaka

PH masih bergasak rebut kerusi Paya Rumput, Asahan

prn melaka

PEREBUTAN dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) menyebabkan parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) di Melaka gagal mencapai persetujuan dalam isu pembahagian kerusi.

Memetik laporan Malaysiakini, sumber PKR memberitahu, dua kerusi DUN terbabit adalah Paya Rumput dan Asahan.

Kerusi DUN Paya Rumput yang disandang Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen menjadi idaman PKR dan DAP.

Selain itu, PKR, DAP dan PAN berebut untuk meletakkan calon di DUN Asahan yang disandang oleh Datuk Abdul Ghafar Atan dari Barisan Nasional (BN).

“Masih dalam rundingan dan setakat semalam masih belum dapat kata putus.

“Yang hangat dan sukar dapat penyelesaian DUN Paya Rumput. PKR inginkan kerusi tersebut sebab memang sebelum ini kerusi PKR sebelum diserah kepada Bersatu. Tetapi, kerusi ini ingin direbut oleh DAP.

“Kerusi yang jadi rebutan tiga parti ialah Asahan. DAP, PKR dan Amanah mahukan kerusi tersebut,” kata sumber itu kepada Malaysiakini.

Sebelum ini, Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari menyatakan bahawa proses rundingan pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka telah mencapai 90 peratus.

Namun, seperti yang dijelaskan oleh sumber PKR itu, ia sebahagian besarnya melibatkan kerusi-kerusi yang memang sedia disandang oleh wakil-wakil rakyat PH sebelum DUN Melaka dibubarkan.

“Macam kerusi PKR DUN Rembia, DUN Machap Jaya dan yang lain-lain. Sama juga DAP lapan kerusi yang telah disandang sebelum ini,” jelasnya.

Berdasarkan maklumat daripada sumber PKR itu, terdapat kemungkinan empat bekas ADUN Melaka yang berpaling tadah iaitu Datuk Seri Idris Haron, Datuk Nor Azman Hassan, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan Datuk Noor Effandi Ahmad tidak diberi ruang mewakili PH.

Sekiranya ingin bertanding juga pada PRN Melaka, keempat-empat mereka terpaksa menjadi calon Bebas.

Begitu juga dengan hasrat Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk melihat calon-calon dari parti Muda membuat penampilan sulung dalam pilihan raya di negara ini.

Kerusi yang sedia ada pun sudah menjadi rebutan PKR, DAP dan DAP. Nampak gayanya memang tiada peluanglah orang lain datang menempek.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *