rohingya ketum kedah BN Menang pengguguran khairuddin politik melayu islam sanusi md nor

Survival politik Islam, Melayu lebih penting dari parti

prn melaka

Oleh RIZQI ZABIDI

KEPENTINGAN survival politik Islam dan Melayu sewajarnya menjadi perkara teras yang menjadi pertimbangan semua pihak dalam membuat keputusan untuk berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak lama lagi.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, hal itu perlu menjadi perkara asas sepatutnya dipertahankan dalam apa jua keadaan sebagai usaha untuk mengukuhkan kuasa politik Islam dan Melayu di negara ini.

Menurut beliau, perpecahan dalam kalangan parti politik tidak hanya membawa kerugian kepada parti terlibat sebaliknya turut memberi kesan kepada perpaduan ummah.

“Sebab itu saya katakan bahawa kepentingan survival politik Melayu dan Islam ini perlu diletakkan di depan berbanding kepentingan parti. Parti politik kita boleh tubuhkan seberapa banyak sekali pun tetapi Islam dan Melayu yang satu ini cuma ada satu saja untuk kita pertahankan.

“Selepas Melaka jatuh ke tangan Portugis pada 1511, kita akhirnya terpaksa menanti hingga lebih 400 tahun untuk menentukan kembali kuasa Islam dan Melayu selepas Merdeka pada 1957. Semua itu perlu dlihat dan dipertimbangkan sebelum kita membuat sebarang keputusan,” katanya.kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di Alor Setar, hari ini.

Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah memberitahu, dalam mengangkat survival politik Islam dan Melayu, kepentingan diri dan peribadi juga sewajarnya diketepikan terlebih dulu.

“Di pihak PAS, kita sendiri masih belum tahu berapa jumlah kerusi yang akan ditandingi. Tetapi saya ada baca kenyataan Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyatakan kemungkinan kita akan bertanding lima kerusi di Melaka.

“Walaupun sebelum ini kita bertanding 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14), saya fikir jumlah lima kerusi itu munasabah.

“Pada PRU lepas kita bertanding tiga penjuru tetapi kini kita mengharapkan hanya terjadi dua penjuru dan pada saya, jumlah lima itu sesuatu yang munasabah,” katanya.

Beliau berkata, jumlah itu masih belum dimuktamadkan dan akan masih dirundingkan selepas ini.

“Saya harap PAS akan diberi kerusi yang memadai iaitu tidak terlalu sedikit dan tidaklah terlalu banyak.

“Seperti saya nyatakan tadi, jumlah lima kerusi itu bagi saya munasabah kerana kita mengharapkan pertandingan berlaku hanya dua penjuru,” jelasnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *