
HASRAT parti Muda yang masih belum disahkan pendaftaran pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk bertanding mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka seolah-olah tidak dialu-alukan oleh sayap pemuda dalam kem pembangkang sendiri.
Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad secara terbuka menyatakan kesangsiannya terhadap motif Muda meletakkan calon mewakili PH.
Pada pandangan beliau, sudah memadai bagi PH meletakkan calon-calon dari PKR, DAP dan PAN sahaja di Melaka.
“Lebih baik ketiga-tiga parti ini meletakkan calon dari kalangan pemimpin mereka sendiri. Letaklah calon yang terbukti setia kepada parti, kental dalam perjuangan dan tidak khianat. Ianya lebih baik berbanding mencalonkan orang luar.
“Kalau ada keperluan untuk meletakkan calon muda, dalam PH sendiri ada sayap pemuda – Angkatan Muda Keadilan, DAPSY dan Pemuda Amanah. Sudah pasti pemimpin muda dalam PH lebih baik berbanding pemimpin muda yang lain.
“Ada pihak luar ingin bantu? Kita alu-alukan. Malah kita menghargai setiap sokongan dan bantuan mana-mana pihak yang ingin melihat PH menang PRN Melaka. Namun tiada keperluan untuk beri mereka guna logo PH,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Faezuddin turut menyuarakan kebimbangan sekiranya calon-calon parti lain yang bertanding menggunakan logo PH akan lari dan menyokong parti lain selepas mereka menang semata-mata untuk membentuk kerajaan.
“Atau kononnya berkecuali menjadi bebas? Adakah ini yang kita mahukan?,” soalnya.
Melihat kepada respon daripada pemimpin nombor dua AMK Johor itu, Syed Saddiq sepatutnya berasa terhina kerana ditolak mentah-mentah.
Jika calon-calon Muda bertanding sekali pun, kemungkinan besar mereka akan ‘bungkus’ dalam PRN Melaka.
Kes mahkamah yang dihadapi oleh Syed Saddiqq sedikit sebanyak menyebabkan reputasi parti yang baru setahun jagung itu tercemar.
Tambahan pula, sejak ia ditubuhkan sehingga kini, rakyat Malaysia termasuk di Melaka tidak tahu apa yang Muda mampu tawarkan untuk mereka.
Selain Syed Saddiq, pemimpin-pemimpin Muda yang lain langsung tidak dikenali oleh rakyat.
Melihat kepada realiti yang pahit ini, wajarlah Syed Saddiq melupakan hasrat meletakkan calon Muda untuk bertanding. Kalau kena ‘kitai’ teruk, nanti diri sendiri yang malu.
Leave a Reply