Jatuh jambatan

Tinggal motosikal sebelum jatuh Jambatan Kedua Pulau Pinang

SEORANG lelaki dikhutiri lemas selepas terjatuh ke dalam laut dari jambatan kedua Pulau Pinang atau Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah di Kilometer 12.6 arah Batu Maung, Pulau Pinang awal pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pukul 2.47 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, mangsa iaitu seorang lelaki berusia 20 tahun yang beralamat di Nibong Tebal, Seberang Perai dikatakan telah bertindak terjun ke dalam laut.

“Mangsa turut meninggalkan sebuah motosikal jenis Benelli di atas jambatan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, pihaknya telah mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) sebaik sahaja menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Katanya, operasi itu digerakkan dengan mengatur gerak bot KILAT 26 ke lokasi kejadian bagi melakukan pencarian yang turut melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Pasukan Polis Marin Batu Uban.

“Selain itu, Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) turut ditubuhkan berhampiran jambatan kedua Batu Maung dan sehingga kini usaha pencarian masih diteruskan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut meminta orang awam yang memiliki sebarang maklumat menyalurkan kepada pihak Maritim Malaysia dan melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *