KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) sudah membincangkan berkenaan 156 aduan membabitkan 62 syarikat produk susu formula bayi, makanan pelengkap bayi dan peralatan penyusuan dalam tempoh dua tahun lalu.
Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, syarikat terbabit sudah dikenakan tindakan penalti seperti amaran bertulis; penggantungan penapisan bahan untuk satu ke dua tahun; pemberitahuan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).
“Syarikat berkenaan juga dikenakan tindakan pemberitahuan kepada Persatuan Antarabangsa Pengeluar-Pengeluar Makanan bayi; kenyataan akhbar dan terakhir, disenarai hitam bagi pelanggaran Tata Etika Pemasaran Makanan Bayi dan Produk Berkaitan yang diadukan.
“KKM sudah melaksanakan Tata Etika Pemasaran Makanan Bayi dan Produk Berkaitan sejak 1979 berdasarkan kepada International Code of Breast-milk Substitutes dan resolusi-resolusi World Health Assembly yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, matlamat pelaksanaan Tata Etika itu katanya, melindungi dan mempertahankan amalan penyusuan susu ibu serta melindungi ibu-ibu daripada pengaruh promosi dan pengiklanan produk berkaitan yang tidak beretika.
“Antara langkah yang diambil oleh Bahagian Pemakanan KKM bawah Tata Etika itu adalah melalui aktiviti pemantauan berterusan yang dijalankan di setiap negeri,” katanya.
Sehubungan itu, Khairy berkata, KKM mengingatkan semua syarikat produk susu formula bayi, makanan pelengkap bayi dan peralatan penyusuan agar sentiasa mematuhi amalan etika yang ditetapkan dalam Tata Etika Pemasaran Makanan Bayi dan Produk Berkaitan.
Leave a Reply