Oleh RAHIMI MOHAMAD
JABATAN Alam Sekitar (JAS) Johor akan melaksanakan siasatan terperinci selepas menerima laporan penuh Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) mengenai Johor sebagai salah satu negeri yang dikenal pasti dijadikan tempat pembuangan sisa toksik secara haram.
Pengarah JAS Johor, Dr. Mohd. Famey Yusoff berkata, setakat ini pihaknya masih belum menerima laporan penuh berkenaan dan sebarang tindakan atau proses hanya boleh diambil selepas meneliti laporan tersebut.
“Laporan penuh itu penting bagi membolehkan siasatan susulan dilakukan termasuk mengenal pasti lokasi sebenar yang dimaksudkan di dalam laporan berkenaan.
“Saya juga telah merujuk ibu pejabat (JAS) dan mereka juga memaklumkan sedang menunggu maklumat sama daripada agensi itu.
“Sekiranya laporan sudah diperoleh, JAS Johor akan terus memulakan siasatan secara terperinci di kawasan yang didakwa,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau Op Bersepadu Kenderaan Perdagangan di Plaza Tol Skudai arah Selatan, di sini hari ini.
Turut bersama dalam operasi itu ialah Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.
MYSA hari ini dilaporkan mendedahkan empat negeri iaitu Selangor, Johor, Pahang dan Perak dikenal pasti mempunyai banyak kawasan yang dijadikan tempat buangan sisa toksik haram di negara ini.
Ia berdasarkan cerapan imej menggunakan satelit secara berkala yang dijalankan MYSA di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) susulan tragedi Sungai Kim Kim, di Pasir Gudang yang tercemar dengan sisa kimia berbahaya pada 2019.
Ketua Pengarah MYSA, Azlikamil Napiah dilaporkan berkata, sebahagian data cerapan berhubung pelupusan sisa toksik itu telah dibentangkan kepada pihak berkuasa negeri terbabit untuk penelitian dan tindakan seterusnya.
Sementara itu, Mohd. Famey menjelaskan JAS Johor tidak mempunyai akses terhadap teknologi satelit bagi menggunakan cerapan imej satelit untuk mengenal pasti kawasan pembuangan sisa toksik haram di negeri ini.
“Namun, kita membuat pemantauan menggunakan dron bagi melakukan risikan terhadap kawasan pencemaran termasuk tapak pembuangan sisa toksik haram,” katanya.
Leave a Reply