DUN Melaka PRN tumbang

Perlawanan sengit, lepas PRN bincang bentuk kerajaan

prn melaka

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 Nov ini dijangka sengit di kebanyakan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan jangkaan pertembungan tiga penjuru membabitkan calon daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

Jangkaan itu adalah berikutan pendirian yang diambil ketiga-tiga parti berkenaan yang berhasrat untuk bertanding di kesemua 28 kerusi DUN, selain kegagalan mencapai kata sepakat antara BN dan PN.

Bagaimanapun, terdapat sebilangan kerusi yang mungkin menyaksikan pertandingan lebih tiga penjuru dengan Parti Putra yang telah diluluskan pendaftarannya pada 8 Mei 2019, dan diterajui Presiden Datuk Ibrahim Ali menyatakan minat untuk mengambil bahagian dalam proses demokrasi itu.

Daripada 28 kerusi DUN, enam daripadanya iaitu Paya Rumput, Rembia, Telok Mas, Pengkalan Batu, Sungai Udang dan Pantai Kundur, dijangka menjadi kerusi panas.

DUN Paya Rumput, Rembia, Telok Mas dan Pengkalan Batu sebelum ini adalah kerusi dimenangi PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, namun empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mewakili kawasan tersebut iaitu Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen (Bersatu), Datuk Muhammad Jailani Khamis (PKR), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (DAP), bertindak menyokong BN bagi membentuk kerajaan baharu yang diterajui BN pada Mac tahun lepas.

Sebelum ‘Langkah Sheraton’ pada tahun lepas, kerajaan negeri Melaka dipimpin bekas Ketua Menteri, Adly Zahari selepas PH membentuk kerajaan dengan majoriti tipis iaitu 15 kerusi, dan pembangkang 13 kerusi dan kepimpinannya hanya bertahan selama 22 bulan.

Melaka kemudian melalui satu lagi episod pertukaran kerajaan dengan BN kembali menerajui negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, dan pentadbirannya hanya bertahan hampir dua tahun setelah terdapat gerakan empat ADUN iaitu Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundur), Norhizam dan Noor Effandi untuk keluar dari blok kerajaan susulan hilang kepercayaan terhadap kepimpinannya, sekali gus menyebabkan DUN Melaka terbubar bagi memberi laluan kepada PRN.

Meskipun keadaan cuaca semasa yang kerap hujan di Melaka yang terletak di selatan tanah air iaitu kira-kira 145 kilometer dari ibu negara Kuala Lumpur, bahang PRN kini semakin terasa dengan kehadiran silih berganti pemimpin-pemimpin utama parti politik ke negeri ini, walaupun ia masih berbaki kira-kira dua minggu lagi sebelum penamaan calon dilangsungkan pada 8 Nov depan.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain yang turut menjangkakan pertembungan tiga penjuru berkata, pertandingan tiga penjuru merupakan perkara yang tidak dapat dielakkan pada PRN berkenaan dan hanya parti yang berjaya mendapat kepercayaan rakyat akan membentuk kerajaan.

Namun menurutnya, dalam landskap politik masa kini, tiada lagi parti yang dilihat dominan dan berkemungkinan kerajaan baharu yang akan terbentuk selepas 20 Nov nanti merupakan kerajaan campuran dan semua parti memiliki peluang yang sama.

“Kalau tiga penjuru berkesan bagi parti yang menang mereka (mungkin) akan kekal dengan cara itu (pada PRU15). Dulu parti-parti bekerjasama untuk menghadapi pilihan raya bagi membentuk kerajaan, tetapi sekarang parti-parti bertanding atas tiket masing-masing.

“Kerjasama datang selepas pilihan raya. Mungkin parti-parti tak mahu terikat dan lepas pilihan raya baharu fikir. Macam di Indonesia, lepas bertanding baharu berpakat (untuk bentuk kerajaan),” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pun begitu, Mohd Izani percaya parti yang mengumumkan siapakah calon Ketua Menteri lebih awal seperti mana yang dilakukan PH sebelum ini, yang menamakan Timbalan Presiden Bersatu ketika itu (kini Presiden Parti Pejuang Tanah Air), Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai calon Menteri Besar Kedah pada PRU14, berkemungkinan boleh mendapat kepercayaan rakyat keseluruhan.

Melaka yang mempunyai keluasan 1,650 kilometer (km) persegi dan memiliki seramai 495,196 pemilih berdaftar setakat 3 Okt lepas mengikut daftar pemilih terkini yang diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), memiliki lima kawasan DUN dikategori sebagai kawasan bandar, separa bandar (10) dan luar bandar (13).

Lima kerusi dikategori sebagai kawasan bandar adalah DUN Kesidang, Kota Laksamana, Banda Hilir, Ayer Keroh, Bukit Katil, separa bandar (Rembia, Durian Tunggal, Duyong, Sungai Udang, Paya Rumput, Klebang, Bemban, Merlimau, Pengkalan Batu, Ayer Molek) dan luar bandar (Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu, Taboh Naning, Gadek, Machap Jaya, Asahan, Telok Mas, Pantai Kundur, Rim, Serkam, Sungai Rambai).

Daripada keseluruhan 28 kerusi itu, sembilan kerusi – Lendu, Taboh Naning, Asahan, Pantai Kundor, Rim, Merlimau, Gadek, Durian Tunggal dan Klebang – dimenangi dengan majoriti tipis di bawah 1,000 undi, dengan enam daripadanya adalah kerusi disandang oleh wakil rakyat BN dan baki dikuasai PH.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) Melaka Sazali Sabri berkata tempahan bilik di 176 hotel bajet di negeri ini masih belum mencatatkan peningkatan mendadak, dan keadaan itu dijangka akan meningkat bermula bulan depan. – BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *