Muhyiddin, isteri terima suntikan dos penggalak

PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman menerima suntikan dos penggalak COVID-19 di pusat pemberian vaksin (PPV) Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini. 

Muhyiddin, 74, dan Noorainee, 69, tiba di PPV berkenaan pada 9.35 pagi dan selesai menerima suntikan dos penggalak Pfizer kira-kira pukul 10 pagi.

Sambil menunggu tempoh pemerhatian, kedua-duanya meluangkan masa berbual dengan remaja yang selesai mengambil vaksin di ruangan menunggu yang sama.

Ketika ditemui pemberita bekas perdana menteri itu berkata proses di PPV itu berjalan dengan baik dan beliau juga tidak mengalami sebarang kesan segera.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman bergambar selepas menerima dos ketiga atau dos penggalak vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Axiata Arena Bukit Jalil pada Sabtu. – Foto Bernama

Menurutnya, beliau secara sukarela membuat janji temu melalui aplikasi MySejahtera beberapa hari lepas untuk mendapatkan suntikan penggalak. 

“Selepas itu saya sendiri membuat panggilan untuk bertanya dengan Kementerian Kesihatan dan diberitahu boleh datang hari ini,” katanya dan menambah  beliau mendapatkan dos penggalak itu bagi meningkatkan perlindungan memandangkan sudah berusia 74 tahun. 

Muhyiddin turut mengingatkan orang ramai supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) walaupun kebanyakan negeri kini berada di Fasa Tiga dan Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara. 

“Sesetengah negara seperti United Kingdom mencatatkan peningkatan semula kes baharu dan rakyat Malaysia wajar menjadikannya sebagai iktibar,” katanya. – Bernama


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *