PATI Thailand

Dron bantu berkas 4 PATI Thailand

TINJAUAN dron berjaya menjejaki empat pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Thailand yang cuba keluar dari negara ini di kawasan pangkalan haram Guchil, Jeram Perdah, Rantau Panjang, malam kelmarin.

Menerusi rondaan menggunakan dron yang dilakukan Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu berjaya mengesan sekali gus menumpaskan penyeludupan PATI.

Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA Kuala Terengganu, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, dalam serbuan pukul 11.30 malam itu, pihaknya berjaya menahan empat PATI warga Thailand.

“Selain itu, PGA turut menahan seorang lelaki tempatan yang bertindak sebagai ‘tekong darat’ untuk membawa PATI tersebut menggunakan kereta jenis Honda Civic,” katanya dalam satu kenyatan, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati pasport yang dimiliki oleh tiga PATI itu telah tamat tempoh.

Beliau berkata, salah seorang daripada PATI tersebut tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri secara sah.

Nor Azizan berkata, kesemua individu yang ditahan itu dibawa balik ke Balai Polis Jeram Perdah untuk tindakan lanjut.

“Kesemua PATI itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan berikutnya.

“Kes disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *