Pindah gajah liar

Suria, Kala bantu ‘pujuk’ gajah liar betina untuk dipindahkan

PROSES pemindahan seekor gajah betina liar yang sesat di Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit pada Selasa lalu berjaya dipindahkan selepas ‘dipujuk’ dua gajah denak bernama Suria dan Kala.

Gajah yang dianggarkan seberat 2 tan itu dipindahkan semalam dengan bantuan Suria dan Kala yang dibawa dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Sungai Deka bagi tujuan memujuk.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, operasi pemindahan gajah itu ke habitat asalnya mengambil masa kira-kira pukul 7 jam.

Pihaknya juga turut memberi rawatan susulan beberapa luka yang dialami haiwan tersebut.

“Secara keseluruhan kita berjaya memindahkan gajah berkenaan ke habitat asalnya.

“Kita juga telah memberi rawatan kepada haiwan tersebut,” katanya, hari ini.

Katanya, seramai 14 kekuatan daripada Perhilitan Terengganu dan PKGK Sungai Deka terlibat dalam operasi pemindahan gajah liar tersebut.

Beliau berkata, gajah berusia 10 tahun itu dipercayai haiwan yang sama berkeliaran di Sungai Tarom, Setiu pada Sabtu lalu dan dikesan memasuki kawasan kampung berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan seorang warga emas cemas melihat seekor gajah berada di hadapan rumahnya di Kampung Pengkalan Atap Batu Rakit, Kuala Nerus.

Wook Umat, 82, yang baharu selesai menunaikan solat subuh pukul 6.20 pagi Selasa terkejut selepas terdengar bunyi bising di luar rumah.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *