KIRA-KIRA 200 pengusaha restoran nasi kandar dan India Muslim di Pulau Pinang merayu kerajaan Pusat menyegerakan dan mempermudahkan kemasukan pekerja asing bagi memenuhi keperluan sektor industri makanan di negeri itu.
Presiden Pertubuhan India Muslim Malaysia, Mohamed Ridzwan Abdul Ghafoor Khan berkata, pengusaha berkenaan kini berdepan kekangan untuk meneruskan operasi dengan sempurna disebabkan kehilangan hampir separuh iaitu 20,000 pekerja berbanding 40,000 orang khususnya warga asing akibat pandemik Covid-19.
Jelasnya, situasi kian meruncing ketika ini selepas kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri dan makan di dalam restoran (dine-in) yang mana restoran-restoran berkenaan diserbu pelanggan.
“Masalah timbul apabila selain perlu melayan pelanggan, pekerja kami juga perlu memastikan pelanggan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan sosial, mendaftar MySejahtera, mengimbas suhu dan sebagainya.
“Disebabkan kekurangan pekerja juga, terdapat pengusaha nasi kandar di Pulau Pinang yang masih belum membenarkan aktiviti dine-in kerana bimbang tidak dapat memastikan pelanggan mematuhi SOP sekali gus dikenakan kompaun oleh pihak berkuasa,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Menurut Mohamed Ridzwan, pihaknya difahamkan ketika ini ramai pekerja asing sedang menunggu untuk masuk dan bekerja semula dalam sektor makanan di Pulau Pinang namun tidak dapat berbuat demikian kerana pintu sempadan masih belum dibuka selain beberapa sekatan lain oleh kerajaan.
Jelas beliau, pihaknya juga cuba mengatasi masalah itu dengan menawarkan pekerjaan kepada warga tempatan namun tidak mendapat sambutan kerana ramai yang tidak berminat.
Sedangkan katanya, pihaknya turut menawarkan gaji pokok yang dianggap menarik iaitu RM1,800 sebulan selain pelbagai faedah lain seperti caruman KWSP dan Perkeso.
“Malah, pekerja warga tempatan juga dibayar gaji bagi kerja lebih masa (OT) yang lebih tinggi sekali gus boleh mendapat pendapatan mencecah antara RM2,000 hingga RM2,500 sebulan,” katanya.
Dalam pada itu, pemilik restoran nasi kandar popular Hameediyah di Georgetown, Ahamed Seeni Pakir Abdul Shukor turut mengakui berdepan masalah kekurangan pekerja sehingga menganggu operasi perniagaannya.
Menurut pemilik restoran nasi kandar berusia lebih 100 tahun itu, dia kini hanya mempunyai kira-kira 30 pekerja berbanding lebih 50 orang sebelum pandemik Covid-19.
“Dengan kehadiran antara 800 hingga 1,000 pelanggan sehari ke restoran kami selepas kebenaran rentas negeri, jumlah pekerja ini tidak dapat memberi layanan yang sempurna dan terbaik kepada pelanggan.
“Malah, disebabkan tidak dapat memantau SOP kerana kekurangan pekerja juga, saya terpaksa menutup sebuah lagi ruang makan.
“Kini hanya 20 orang sahaja boleh ‘dine in’ pada satu-satu masa berbanding 40 orang sebelum menyebabkan ramai pelanggan terpaksa beratur panjang dan menunggu di luar kedai,” katanya.
Leave a Reply