Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
TIADA lagi kompromi malah kerajaan perlu mengenakan tindakan tegas terhadap mereka yang masih tidak mahu divaksin tanpa alasan kukuh.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kedegilan mereka membimbangkan walaupun jumlah mereka hanya kira-kira 10 peratus dan tanpa disedari berisiko menjadi penyebar wabak Covid-19.
Jelas bekas Perdana Menteri, golongan tersebut juga berpotensi merencatkan usaha kerajaan untuk memulihkan semula ekonomi malah menganggu usaha untuk mencapai imuniti kelompok dengan lebih berkesan.
“Kerajaan patut pertimbang jika jadikan sebagai mandatori apakah dia ada halangan sama ada daripada segi perundangan atau Perlembagaan atau melakukan apa cara sekalipun supaya golongan yang menolak ini dapat diberikan nasihat untuk menerimanya.
“Kalau mereka tidak menerima vaksinasi, mereka tak boleh guna MySejahtera. Sebab kalau ada aplikasi ini, dia akan sediakan sijil vaksinasi yang mana kita perlu imbas untuk masuk ke tempat-tempat tertentu.
“Jadi kalau mereka tiada sijil, mereka secara semula jadi sudah menafikan hak untuk mendapat kemudahan sama ada ke restoran, masjid, hotel atau di mana sekalipun kerana ia sudah jadi satu amalan biasa di Malaysia,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Pimpinan Tempatan di Dewan Serbaguna Bukit Gambir, pekan Gambir, Tangkak, Muar, hari ini.
Terdahulu Muhyiddin merasmikan Kayuhan Santai Sempena Hari Sukan Negara Peringkat DUN Gambir di pekarangan Dewan Serbaguna Bukit Gambir.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir itu kemudian melakukan ‘walkabout’ di Pasar Tani Bukit Gambir sebelum menyampaikan sumbangan barang basah kepada Ketua-ketua taman sekitar pekan Bukit Gambir.
Pada 12 Ogos lalu, Muhyiddin semasa menjadi Perdana Menteri berkata, kerajaan akan memutuskan untuk mempertimbang mewajibkan suntikan vaksin secara mandatori sebaik kajian ke atas golongan yang menolak vaksin atau antivaksin selesai sepenuhnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan sebelum ini tidak menguatkuasakan perkara berkenaan kerana tertumpu kepada usaha pemberian vaksin dengan segera.
Namun kata Muhyiddin, sudah tiba masa untuk perkara tersebut diperhalusi berikutan ketika ini golongan menolak divaksin itu kebanyakannya terpengaruh dengan berita tidak sahih yang disebarkan.
Tindakan golongan tersebut katanya, secara tidak langsung akan merencatkan usaha mencapai imuniti kelompok dengan lebih berkesan.
Leave a Reply