PIHAK yang menjaga urusan agama Islam tidak sepatutnya mengizinkan sebarang penyalahgunaan nama yang cuba mengelirukan penganut Islam oleh mana-mana pihak termasuk jenama ‘Timah’ bagi arak.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, perbuatan itu boleh dianggap menyentuh sensitiviti umat Islam.
Menurut beliau, kerajaan yang dikuasai oleh PAS di Kelantan dan Terengganu telah menetapkan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri yang mengharamkan arak kepada penganut Islam.
Pada masa yang sama, kata Ahli Parlimen Marang itu, kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu tidak melarang perniagaan arak dalam kalangan bukan Islam sahaja.
“Walau apa pun alasan yang diberikan untuk jenamanya, penggunaan nama Timah dalam bahasa orang Melayu adalah dekat dengan nama Fatimah al-Zahra’ RA, puteri kesayangan Rasulullah SAW, dan secara halus boleh dianggap menyentuh sensitiviti dalam kalangan penganut Islam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Isu arak berjenama ‘Timah’ telah mencetuskan polemik dan bantahan keras daripada umat Islam di negara ini yang kesal dengan perbuatan tidak bertanggungjawab pengeluaran minuman keras yang diharamkan dalam Islam itu.
Walau bagaimanapun, syarikat pengeluar arak jenama berkenaan menjelaskan bahawa perkataan itu merujuk kepada bijih timah, komoditi utama negara pada era pentadbiran British di Tanah Melayu.
Gambar lelaki pada label berkenaan pula ialah wajah Kapten Speedy, seorang pegawai penjajah British yang pernah berkhidmat di negara ini.
Abdul Hadi turut berkongsi firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 204 – 205 yang bermaksud:
“Dan antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya), dan dia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal dia adalah orang yang amat keras permusuhannya (kepadamu). (204); Kemudian, apabila dia pergi (dengan mendapatkan hajatnya), berusahalah dia di bumi untuk melakukan bencana padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia); sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan.”
Beliau memberitahu, Rasulullah SAW telah memberikan suatu amaran akan berlakunya fitnah pada akhir zaman yang menimpa ke atas umatnya yang membawa kepada kerosakan akhlak mereka akibat arak dan seumpamanya.
“Sehingga jenama arak sengaja ditukar semata-mata bagi mengelirukan,” jelasnya.
Abdul Hadi berkata, perkara itu dinyatakan melalui sabda baginda SAW yang bermaksud:
“Demi sesungguhnya ada dalam kalangan umatku yang meminum arak, sehingga menamakannya dengan bukan nama asalnya (menukar namanya bagi mengelirukan).” (Riwayat Abu Dawud 3688, Ibn Majah 4020 dan lain-lain)
Leave a Reply