SEORANG anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Tengah yang kemalangan ketika melakukan kerja-kerja penyelamatan di Sungai Putat, Batu Berendam, Melaka, semalam, meninggal dunia awal pagi ini.
Pegawai Bomba PBK II Mohd. Diya Che Jusoh, 46, meninggal dunia pada pukul 3.11 pagi ketika mendapat rawatan di Hospital Melaka.
Pengarah JBPM Negeri, Penolong Pesuruhjaya Abu Bakar Katain berkata, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid An-Nur Krubong, pada jam 10 pagi.
Katanya, ketika kejadian mangsa bersama-sama pasukannya sedang melakukan kerja-kerja penyelamatan 14 mangsa banjr yang terperangkap di anjung sebuah rumah berikutan arus deras dan paras air meningkat dengan cepat.
Menurut beliau, pasukan itu menggunakan alat pelindungan diri seperti jaket keselamatan ketika membuat penyelamatan secara ‘water crossing’ di lokasi kejadian bagaimanapun mangsa tergelincir akibat ditolak arus deras dan terperangkap di longgokan rumput hanyut.
Ujarnya, mangsa kemudian diselamatkan anggota bomba yang lain serta diberikan bantuan pernafasan di lokasi kejadian sebelum dihantar ke Hospital Melaka menggunakan Jentera Emergency Medical Rescue Service (EMRS) BBP Melaka Tengah.
“Mangsa yang menerima rawatan di hospital masih tidak sedarkan diri dan bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan sebelum menghembuskan nafas terakhir.
“Warga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Negeri Melaka merakamkan ucapan takziah dan amat berdukacita di atas insiden tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Media semalam melaporkan seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Tengah dipercayai pengsan semasa melakukan kerja-kerja penyelamatan di Sungai Putat.
Kejadian pukul 5.30 petang itu dipercayai berlaku ketika mangsa sedang memasang tali di kawasan banjir untuk membantu penduduk kampung keluar dari kediaman masing-masing.
Leave a Reply