SEORANG pemandu kenderaan pacuan empat roda milik Kementerian Kesihatan (KKM) cedera selepas terbabas dan terbalik di Jalan Jelapang, berhampiran Taman Meru Perdana, Ipoh, hari ini.
Kemalangan tersebut menyebabkan pemandu berusia 42 tahun yang memandu sendirian itu cedera dan tersepit.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak menerima panggilan mengenai kejadian tersebut daripada orang awam pukul 7.29 pagi.
Menurut Jurucakap JBPM Perak, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya dikejarkan ke tempat kejadian.
“Ketika sampai di lokasi kejadian, mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dengan bantuan orang awam. Mangsa mengalami kecederaan di bahagian belakang dan dada.
“Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja dari rumah. Kenderaan dari arah Chemor itu terbabas di laluan bertentangan,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Katanya, mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk rawatan lanjut.
“Seramai enam anggota dengan satu jentera terlibat dalam operasi membantu mangsa kemalangan tersebut,” ujarnya.
Leave a Reply