Air ketum

Kantoi bawa 96 bungkus air ketum

CUBAAN dua lelaki membawa 96 bungkus air ketum di belakang kenderaan mereka gagal apabila bahan terlarang itu ditemukan dalam sekatan jalan di Jambatan Tendong, Pasir Mas, kelmarin.

Dua lelaki berkenaan pada mulanya dilihat dalam keadaan mencurigakan di kawasan itu sebelum pemeriksaan pada 6.15 pagi menemukan bungkusan berisi air ketum tersebut yang sudah siap diikat dalam plastik.

Menurut Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir, kenderaan tersebut dipandu dari arah Pasir Mas menghala ke Salor, Kota Bharu.

“Namun pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan berkenaan menemui dua bungkusan plastik lutsinar warna hijau.

“Bungkusan pertama mengandungi 16 bungkus plastik lutsinar berisi cecair keperangan disyaki air ketum yang diletakkan di tempat letak kaki penumpang belakang.

“Lapan lagi plastik lutsinar yang di dalamnya berisi 80 bungkus plastik putih yang juga dipercayai air ketum disorok dalam but belakang kenderaan tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati dua lelaki berkenaan berusia 20 dan 26 tahun masing-masing positif dadah jenis Benzo.

Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *