IDENTITI Digital Nasional (IDN) akan dilaksanakan sepenuhnya pada 2024, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Beliau menjelaskan bahawa IDN tidak akan menggantikan MyKad sebagai dokumen pengenalan diri sebaliknya merupakan satu bentuk pengenalan dan pengesahan diri secara digital dengan menggunakan teknologi terkini biometrik seperti cap jari, pengecaman wajah dan iris bagi rakyat menjalankan urusan dalam talian.
“Pengesahan individu secara digital ini penting bagi mengelakkan penipuan identiti dalam urusan secara dalam talian yang boleh merugikan negara,” katanya pada sambutan Hari Pendaftaran Negara ke-73 yang diadakan secara dalam talian hari ini.
Hamzah berkata proses perancangan IDN bermula tahun ini, dengan sistem dan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan ditambah baik supaya sentiasa terkini dan selamat agar urusan pengesahan identiti pengguna melalui IDN dapat dikendalikan dengan baik.
“Dengan adanya IDN ini, semakan dan pengesahan individu warganegara yang mempunyai MyKad dapat dilaksanakan dengan mudah dan tepat.
“Ia bukan hanya dapat membantu melancarkan semua proses yang terlibat, apa yang lebih penting ia mampu memberi keyakinan tinggi kepada rakyat terhadap sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan,” katanya.
Menurut Hamzah JPN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang membangunkan Sistem Pengesahan Data Integrasi Kematian (SPDIM) yang merupakan satu integrasi antara sistem JPN dengan Sistem Laporan Polis (PRS) yang melibatkan 690 balai polis di Semenanjung Malaysia.
Beliau berkata sistem itu memudahkan proses pengesahan kematian yang dilaporkan kesemua balai polis berkenaan dan melibatkan kematian yang tiada unsur jenayah di rumah.
Melalui sistem integrasi itu, katanya JPN akan membuat pengesahan kematian secara dalam talian sekali gus mempercepatkan proses pendaftaran dan pengeluaran sijil kematian kepada waris.
“Sebelum pelaksanaan SPDIM ini, rakyat perlu menunggu untuk mendapatkan sijil kematian, namun dengan adanya sistem ini pengeluaran sijil kematian boleh dibuat pada hari yang sama kematian dilaporkan di balai polis,” katanya.
Hamzah berkata JPN akan memperluaskan perkhidmatan dalam talian sedia ada antaranya pendaftaran kelahiran, permohonan kad pengenalan 12 tahun, pendaftaran perkahwinan dan gantian MyKad kepada urus niaga lain berdasarkan kesesuaian bagi memantapkan sistem penyampaian perkhidmatannya.
“Perkhidmatan dalam talian atau eServices yang telah disediakan JPN telah mencapai satu tahap yang membanggakan. Kini pemohon hanya perlu hadir ke pejabat JPN untuk membuat pengesahan dan mengambil dokumen yang telah siap diproses,” katanya.
Hamzah dalam pada itu berkata tema sambutan Hari Pendaftaran Negara tahun ini iaitu “JPN 73 Tahun: Transformasi Digital” adalah bersesuaian dan bertepatan susulan peralihan ke arah transformasi perkhidmatan secara digital dan dalam talian.
“Peralihan dan penambahbaikan daripada sistem lama kepada digital ini terbukti mampu meningkatkan tahap keselamatan maklumat data peribadi penduduk Malaysia, terutamanya dalam mengekang kegiatan tidak bertanggungjawab seperti pemalsuan kad pengenalan mahupun ‘black economy’ (ekonomi gelap),” katanya. – BERNAMA
Leave a Reply