EMPAT lelaki ditahan termasuk seorang pelajar susulan tujuh individu menunggang motosikal secara berbahaya di Lebuh Raya Seremban- Port Dickson, Port Dickson, seperti dipaparkan dalam video yang tular sejak Ahad lalu.
Semua mereka ditahan hari ini sepasukan polis dari Bahagian Trafik Port Dickson dengan kerjasama pegawai dan anggota trafik Ibu Pejabat Polis (IPD) Melaka Tengah.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed memberitahu: “Kesemuanya berumur 17 hingga 18 tahun ditahan antara jam 1 hingga 4 pagi di lokasi berasingan di kawasan Bukit Rambai dan Cheng Melaka.
“Mereka ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini di IPD Port Dickson bagi siasatan lanjut. Kes disiasat bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu atau menunggang secara melulu dan bahaya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Aidi Sham berkata, jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara kurang lima tahun dan denda RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan lesen memandu lebih lima tahun.
“Usaha mengesan baki tiga orang penunggang yang dikenali sebagai ‘Upa’, ‘Darwisy’ dan ‘Afiq’ sedang dijalankan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, polis sedang mengesan tujuh individu yang menunggang motosikal secara berbahaya di Lebuh Raya Seremban – Port Dickson seperti dipaparkan dalam video yang tular dalam media sosial sejak petang Ahad.
Menerusi satu paparan video, aksi kesemua penunggang motosikal itu dimuat naik ke Facebook mendedahkan tujuh orang menunggang motosikal dengan cara membongkok badan, bersaing sesama sendiri dan membuat aksi zig zag dipercayai membahayakan diri sendiri dan orang lain.
Leave a Reply