PENDUDUK Kampung Pengkalan Atap Batu Rakit, Kuala Nerus, gempar apabila seekor gajah berkeliaran di kampung tersebut hari ini.
Kehadiaran mamalia tersebut disedari pada pukul 6.20 pagi selepas seorang penduduk terdengar bunyi bising di luar rumah.
Wook Umat, 82, yang baharu selesai menunaikan solat Subuh pada mulanya menyangka bunyi bising itu disebabkan anaknya sedang membersihkan laman rumah sebelum ke luar rumah untuk melihat apa yang dilakukan.
“Sebaik membuka pintu, saya ternampak seekor gajah berada di hadapan rumah. Haiwan itu melintasi kawasan rumah.
“Memang terkejut sebab tak pernah tengok gajah sedekat ini dan Allah sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu. Mujurlah haiwan itu hanya melalui kawasan rumah. Saya tidak dapat bayangkan sekiranya ia mengganas,” katanya.
Penduduk lain, Mazlan Mat Jusoh, 53, sedang tidur sebelum dikejutkan isterinya pada pukul 6 pagi memaklumkan terdapat objek besar melalui belakang rumah mereka.
“Saya segera bangun untuk tengok objek dimaksudkan isteri dan terkejut melihat gajah lalu di hadapan rumah.
“Sebaik ia beredar, saya segera membuat pemeriksaan dan mendapati pagar rumah serta kereta rosak.
“Kejadian itu menyebabkan saya menanggung kerugian hampir RM1,000 selepas sebahagian pagar dan keretanya dirosakkan haiwan berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, Bazlan Abd. Rahman berkata, gajah tersebut berjaya ditangkap dan setakat ini
lima rumah penduduk mengalami kerosakan pada pagar akibat serangan gajah itu.
“Selain itu, sebuah kereta milik penduduk turut mengalami kerosakan dan kita akan melihat bantuan yang boleh diberikan kepada penduduk terbabit,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong ketika dihubungi berkata, gajah jantan yang dianggarkan seberat dua tan berjaya ditangkap kira-kira 10 pagi tadi.
Katanya, gajah liar yang dipercayai berusia berusia 10 tahun itu dipercayai haiwan yang sama berkeliaran di Sungai Tarom, Setiu pada Sabtu lalu.
“Gajah itu dikesan masuk ke kampung berkenaan hari ini dan berjaya ditangkap selepas ditembak dengan ubat pelali,” katanya.
Leave a Reply