Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
TINDAKAN sepasang suami isteri dari Perak yang merentas negeri memasuki Kota Tinggi biarpun masih tidak lengkap vaksin membawa padah apabila dikompaun semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, pasangan itu dikesan ketika operasi pematuhan dilakukan di sekatan jalan raya (SJR) Jalan Kulai-Kota Tinggi.
Katanya, bagi perbuatan itu, pasangan suami isteri terbabit diberikan kompaun kerana merentas negeri tanpa vaksin yang lengkap.
“Siasatan mendapati mereka dari negeri Perak ke Kulai melalui SJR (Inas) Jalan Kulai-Kota Tinggi untuk melakukan rentas negeri.
“Nilai kompaun dikenakan adalah sebanyak RM2,000 setiap seorang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kompaun dikeluarkan adalah di bawah Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.
Jelasnya, orang ramai dinasihatkan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan meskipun kerajaan telah memberikan kebenaran bagi mereka yang sudah menerima vaksinasi lengkap untuk melakukan pergerakan rentas negeri.
Tambahnya, masyarakat juga dinasihat agar tidak bersikap sambil lewa terhadap kelonggaran perjalanan rentas negeri yang diberikan.
Leave a Reply