Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
SEORANG lelaki ditemukan sudah meninggal dunia ketika mendaki Gunung Lambak, Kluang, hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Pegawai Bomba Kanan II, Norhakim Nordin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 12.25 tengah hari.
Susulan itu katanya, seramai 11 anggota dan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, bomba dapati terdapat seorang lelaki berusia 52 tidak sedarkan diri.
“Mangsa, Teo Chee Kiong@Tiu Chee Kiong, dikatakan ditemui orang awam yang lalu di kawasan berkenaan.
“Mangsa kemudiannya telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dipercayai akibat serangan jantung,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Norhakim berkata, ketika ditemui mangsa hanya berseorangan dan dipercayai dalam perjalanan untuk turun ke bawah.
Pasukan penyelamat kemudiannya menurunkan mangsa dari puncak gunung menggunakan alat pengusung dengan bantuan pihak polis dan KKM.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak terbabit untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada pukul 4.05 petang,” katanya.
Leave a Reply