Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
PENAHANAN seorang warga emas terlibat kegiatan mengedar rokok seludup membawa kepada penemuan barangan tidak bercukai itu yang disembunyikan dalam sebuah premis dan kereta di Taman Bintang Emas, Bukit Pasir, Muar semalam.
Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 6 PGA Bakri, Deputi Supritendan Salehin Suleiman berkata, pihaknya melakukan operasi itu pada pukul 9.40 pagi dan pada awalnya menahan lelaki warga emas terbabit yang dipercayai terlibat kegiatan tersebut.
Katanya, suspek warga tempatan berusia 64 tahun itu dipercayai menjadi pengedar rokok seludup di kawasan setempat.
“Penahanan suspek itu turut membawa kepada pemeriksaan ke atas sebuah premis dan kereta jenis Proton Waja yang mana kami telah menemui sebanyak 771 karton rokok seludup bersamaan 134,700 batang rokok,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pihaknya percaya tangkapan dan rampasan barangan yang dilakukan itu berjaya memutuskan salah satu rangkaian sindiket penjualan rokok seludup di sekitar daerah Muar serta Tangkak.
“Jumlah keseluruhan anggaran nilai rampasan ini adalah sebanyak RM160,958. Suspek dan barangan rampasan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967,” katanya.
Leave a Reply