SERAMAI 17 nelayan tempatan terselamat selepas bot yang dinaiki karam di muara Kuala Kemaman, Kemaman semalam.
Dalam kejadian pada jam 5.15 pagi itu, semua mereka diselamatkan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kemaman selepas orang awam menghubungi agensi berkenaan.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abdul Rashid berkata, pihaknya menerima aduan yang memaklumkan terdapat sebuah bot nelayan tempatan hampir karam.
Menurutnya, sebuah Bot Penggalang 16 digerakkan ke lokasi bagi menyelamatkan bot berkenaan yang dinaiki 17 nelayan tempatan berusia antara 17 hingga 51 tahun.”Hasil siasatan awal mendapati bot itu mengalami kebocoran dan hampir karam selepas terlanggar sesuatu di laut,” katanya.
Sementara itu, saksi kejadian Hazrul Haziq, 30, berkata, semasa kejadian dia bersama isteri dan seorang anak sedang berehat di tepi pantai iaitu kira-kira 300 meter jarak dari lokasi bot tersebut.
“Memang ketika itu, saya nampak sangat jelas kedudukan bot tersebut hampir tenggelam. Tanpa berlengah saya segera menghubungi pihak Maritim Malaysia untuk mendapatkan bantuan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.
Leave a Reply