PRU-15: Pas yakin UMNO,Bersatu bersama dalam penyatuan ummah

PAS yakin UMNO dan Bersatu akan bersama dalam agenda penyatuan ummah bagi memperkasakan semula sokongan Melayu dan Islam bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, beliau yakin kedua-dua parti tersebut akan bersama dengan penyatuan ummah.

Bagaimanapun katanya, apa yang berlaku sekarang dianggap tidak lebih latihan dalam berpolitik.

“Orang politik kalau ditanya hidung di mana, dia tidak akan tunjuk hidung di sini (direct), tetapi dia buat mari ikut sini (belakang), jadi bila mari ikut belakang ada banyak pandangan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program flag off pengeksportan produk ke pasaran Timur Tengah di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kota Bharu hari ini, lapor Harakah Daily.

Dr Nik Muhammad Zawawi menyifatkan apa yang berlaku sekarang kepada UMNO sebagai ‘latihan politik’ ekoran keputusannya untuk bergerak sendiri.

Menurutnya juga apabila Parlimen dibubarkan, agenda yang menjadi keutamaan untuk melihat ada penyatuan orang Melayu-Islam.

Beliau turut menafikan Muktamar Tahunan Pas yang akan diadakan November ini membincangkan tindakan UMNO yang mahu memutuskan hubungan dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

“Agenda penyatuan ummah yang dibawa Pas sudah lama, bahkan ahli di peringkat akar umbi pun sudah memahami hasrat tersebut selama 71 tahun penubuhannya.

“Muktamar ini dijangka tidak hangat dengan isu tersebut, sebab kita sudah lama dengan agenda penyatuan ummah. Sebelum PRU pun sudah dibincang untuk menyatukan orang Islam. “Kita pernah bersama Pakatan Rakyat tetapi rakan-rakan dalam pakatan itu tidak boleh terima konsep penyatuan ummah sebagaimana disebut dalam al Quran,” katanya


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *