MBIP perintis

MBIP rintis program rendah karbon di Johor

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

MAJLIS Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dijangka menjadi perintis dalam pembangunan projek rendah karbon di negeri ini menerusi 14 projek komuniti setempat berteraskan agenda hijau dan bebas karbon.

14 projek komuniti itu menerima Geran Komuniti Iskandar Puteri Rendah Karbon 1.0 bernilai RM168,000 dalam usaha memupuk semangat dan nilai murni tersebut dalam kalangan masyarakat.

Geran tersebut diberikan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) menerusi jalinan kerjasama lingkaran empat dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan SWM Environment Sdn. Bhd.

Datuk Bandar MBIP, Datuk Mohd. Haffiz Ahmad berkata, program berkenaan merupakan usaha induk MBIP bersama rakan strategik bagi menghargai usaha amalan rendah karbon dalam kalangan masyarakat di Iskandar Puteri.

“Ini selari dengan Pelan Tindakan Masyarakat Rendah Karbon Iskandar Puteri 2025 sekali gus menterjemah strategi teras Kelestarian Alam Sekitar di bawah Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030.

“Geran Komuniti Iskandar Puteri Rendah Karbon 1.0 yang julung kali diadakan dan pertama seumpamanya di negeri Johor bertujuan untuk membimbing, menggalak dan mengembangkan usaha komuniti membudayakan amalan rendah karbon di kawasan Iskandar Puteri.

“Sebanyak 64 permohonan (setiap pemohon mewakili satu lokaliti) diterima dan disaring kepada 14 projek komuniti rendah karbon yang bernilai antara RM7,000 hingga RM15,000, dengan berteraskan empat komponen utama; kesukarelawanan dan penglibatan komuniti, pendidikan kesedaran awam dan gaya hidup sihat, infrakstruktur hijau serta pengurusan sisa mampan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Hafiz berkata, seramai 50,932 penduduk di kawasan bandar raya ini bawah kategori kediaman bertanah dan bertingkat serta institusi, telah menjayakan Pertandingan Kalendar Iskandar Puteri Rendah Karbon 2021 pada tahun ini.

Kejayaan itu jelasnya, melalui usaha penjimatan air, elektrik dan perlaksanaan aktiviti kitar semula di premis masing-masing bermula dari Januari hingga Julai 2021.

Sementara itu, Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim berkata, kejayaan pelaksanaan Pelan Induk Masyarakat Rendah Karbon Iskandar Malaysia yang telah dilancarkan pada 2012, memerlukan penglibatan semua peringkat masyarakat, agensi kerajaan dan swasta.

Tujuannya kata beliau, untuk menyokong pembangunan rendah karbon di Iskandar Malaysia.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *