puak antivaksin Khairy Jamaluddin

Puak antivaksin sentap, lancar ‘serangan’ terhadap KJ

PUAK antivaksin mempertingkatkan ‘serangan’ mereka terhadap pemimpin kerajaan berikutan pelaksanaan pelbagai peraturan yang bertujuan mengurangkan risiko penularan COVID-19 dalam kalangan rakyat.

Sasaran utama mereka ialah Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin selepas menegaskan bahawa beliau akan ‘membuatkan hidup mereka susah’.

Khairy dilaporkan berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran 11th National Acute Myocardial Infarcation Course (NAMIC) 2021 di Kuala Lumpur, semalam.

Salah satu kumpulan antivaksin yang menggelarkan diri mereka ‘Universal Antidote Malaysia’ melancarkan kempen membaca qunut nazilah bagi mendoakan kehancuran Ahli Parlimen Rembau itu.

Mesej tentang tindakan yang kebudak-budakan itu dipercayai disebarkan melalui kumpulan sembang Telegram.

Khairy berkongsi tangkap layar mesej tersebut dalam Insta Story miliknya dengan kapsyen yang berbunyi: “Golongan antivaksin meningkatkan permainan mereka.”

Khairy Jamaluddin puak antivaksin
Tangkap layar yang dikongsi dalam Insta Story Khairy Jamaluddin.

Selain itu, puak antivaksin turut menghujani ruangan komen dalam laman Facebook Khairy dengan kecaman yang bernada serupa.

Tindakan golongan minoriti tersebut mengundang kekesalan netizen yang memahami tujuan kerajaan menggalakkan rakyat mengambil vaksin.

Malangnya, puak antivaksin masih ingin menegakkan benang yang basah dengan menyerang netizen yang cuba menasihatkan mereka.

Pelbagai hujah yang tidak masuk akal dilontarkan oleh mereka termasuk berita palsu yang tidak dapat ditentukan kesahihannya.

Mungkin mereka tidak sedar kedegilan enggan mengambil vaksin akan menyukarkan usaha kerajaan memastikan negara ini bebas daripada ancaman pandemik COVID-19.

Melihat kepada perangai mereka yang tidak berapa matang itu, memang wajarlah kerajaan menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) yang menyekat puak antivaksin daripada memasuki premis awam dan perniagaan.

Menjaga keselamatan dan nyawa rakyat adalah keutamaan kerajaan. Sekiranya puak antivaksin tidak berpuas hati dengan SOP yang dilaksanakan, mereka boleh duduk diam-diam sahaja di rumah.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *