pelancongan Johor

Pelan pembangunan pelancongan Johor mesti sistematik – Sultan Johor

Oleh RAHIMI MOHAMAD

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya perlu merangka satu pelan pembangunan pelancongan negeri Johor yang sistematik untuk tempoh jangka masa panjang bagi menarik lebih ramai pelancong.

Saranan itu dizahirkan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang bertitah, Johor merupakan antara destinasi pelancongan popular dalam kalangan pelancong dari dalam dan luar negara.

Titah baginda, setiap daerah di Johor mempunyai tarikan pelancongan yang tersendiri, termasuk keindahan pulau-pulau di Mersing.

“Terdapat banyak lokasi menarik di Johor yang boleh dikunjungi pelancong dan pada masa sama, kementerian perlu memastikan setiap polisi dan insentif yang ditetapkan adalah konsisten bagi menarik lebih ramai pelabur serta pelancong.

“Saya menyentuh dan membincangkan pelbagai perkara bersama Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Dr. Santhara Kumar antaranya berkaitan sektor pelancongan negara dan Johor,” titah baginda dalam laman Facebook Sultan Johor hari ini.

Pertemuan antara Sultan Ibrahim dan Santhara Kumar itu diadakan di Pejabat Mados, Istana Bukit Pelangi di Johor Bahru.

Baginda bertitah, antara yang turut dibincangkan dengan Ahli Parlimen Segamat itu adalah Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang berpotensi menarik kedatangan lebih banyak pelancong ke negara ini.

“Pelan pembangunan itu juga penting bagi merancakkan semula sektor pelancongan di setiap daerah serta mempromosikan produk-produk keluaran tempatan,” titah baginda lagi.

Johor kini mula dikunjungi pelancong dari luar negeri ke destinasi-destinasi menarik sejak kelmarin selepas kebenaran rentas negeri diberikan oleh kerajaan pada Isnin lalu.

Cuti hujung minggu pertama selepas tiada lagi sekatan pergerakan antara negeri itu merancakkan kembali aktiviti pelancongan negeri itu yang sekian lama berdepan kesukaran ekoran pandemik Covid-19.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *