Oleh RAHIMI MOHAMAD
SEJUMLAH alat ganti kenderaan dan minuman keras bernilai RM2.6 juta yang cuba diseludup masuk ke negara ini berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor dalam dua operasi berasingan pada akhir bulan lepas dan 8 Oktober lalu.
Kegiatan itu berjaya dikesan Kastam di pintu sempadan Malaysia-Singapura, namun tangkapan dan serbuan itu hanya dilakukan setelah sindiket berkenaan memasuki negara ini.
Pengarah JKDM Johor, Sazali Mohamad berkata, tindakan itu bagi mengukuhkan lagi pendakwaan terhadap pihak terlibat dalam sindiket tersebut.
“Dalam operasi pertama pada 30 September lalu, JKDM Johor telah merampas 9,364 alat ganti kenderaan mewah dengan menahan sebuah lori kontena di Jalan Bertingkat Skudai, Kampung Pasir, Johor Bahru pada pukul 5.30 petang.
“Pemeriksaan dibuat mendapati pihak berkenaan mengikrar jumlah alat ganti kenderaan yang bernilai lebih rendah untuk mengelak membayar cukai sepatutnya.
“Barangan alat ganti kenderaan yang dirampas sebanyak RM363,340, manakala lori kontena bernilai RM80,000 dengan nilai duti dan cukai terlibat berjumlah RM145,763.25,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Seorang lelaki tempatan yang merupakan pemandu lori berkenaan berusia 51 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967.
Sementara itu, dalam operasi kedua pula, Kastam Johor telah menggagalkan cubaan menyeludup minuman keras pelbagai jenama yang dianggarkan sebanyak 12,988 liter.
“Dalam operasi pada pukul 9 pagi itu, JKDM Johor merampas sebuah lori kontena di Plaza Tol Kempas mengala ke utara yang dipercayai sedang dalam perjalanan ke ibu negara.
“Pemeriksaan mendapati 17,000 botol minuman keras dianggarkan bernilai RM324,720 dengan jumlah duti dan cukai sebanyak RM1,722,954.82,” katanya yang memaklumkan turut merampas lori kontena bernilai RM100,000.
Tambah Sazali, sindiket terbabit bertindak mengikrar barangan dibawa sebagai ‘mineral nutrien mixture’ dengan tujuan mengelak dikesan agensi penguatkuasaan.
“Dalam operasi tersebut, dua lelaki warganegara tempatan berusia 34 dan 56 tahun yang merupakan pemandu dan kelindan lori ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya.
Dalam pada itu, Sazali turut menggesa masyarakat untuk membantu JKDM Johor memerangi jenayah penyeludupan khususnya melibatkan rokok, minuman keras dan lain-lain.
“Kedua-dua operasi itu juga hasil maklumat awam dan orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti berkenaan dengan menghubungi talian bebas tol Kastam iaitu 1800-88-8855 atau pejabat JKDM terdekat,” katanya.
Leave a Reply