JABATAN Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menahan seorang pemandu jengkaut yang sedang leka melakukan kerja-kerja pembersihan secara haram di kawasan Hutan Simpan Purun, Bera, semalam.
Lelaki tempatan berusia 43 tahun itu ditahan ketika lima anggota Penguat Kuasa (UPK) Pahang Timur yang diketuai Pengawas Hutan, Mohd. Azhar Mudzafar melakukan rondaan di kawasan hutan terbabit.
Ketua Penolong Pengarah (Penguat Kuasa) JPNP, Nor Azirim Ahmad berkata, lelaki tersebut mendakwa telah ditugaskan untuk meratakan tanah di kawasan hutan berkenaan dan tidak mengetahui kerja itu satu kesalahan besar.
Susulan itu katanya, JPNP menahan lelaki terbabit dan satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera atas kesalahan menceroboh dan membersihkan Hutan Simpan Purun.
“Lelaki itu bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis. Kita turut menyita jentera terbabit dan kini ditempatkan di pusat simpanan barangan rampasan Pejabat Ladang Hutan Kemasuk, Mentakab di Temerloh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Nor Azirim tidak menolak kemungkinan kegiatan membersihkan hutan dan meratakan tanah di kawasan hutan tersebut adalah untuk menanam kelapa sawit.
“Kalau kita lihat kawasan berhampiran Hutan Simpan Purun ini begitu terkenal dengan tanaman kelapa sawit.
“Atas sebab itu terdapat banyak percubaan daripada individu atau pihak tertentu meneroka tanah haram di hutan simpan bagi tujuan pertanian,” katanya.
Leave a Reply