bersatu kaum

Buktikan Bersatu jaga kepentingan pelbagai kaum – Mahathir

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka merupakan platform bagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuktikan bahawa ia adalah sebuah parti yang menjaga kepentingan rakyat pelbagai kaum.

Ketua Bersatu Bahagian Segambut, Mahathir Mohd Rais berkata, pemimpin Bersatu juga perlu menyedari hakikat bahawa mereka kini bukan hanya perlu menjaga kepentingan dan mewakili orang Melayu sahaja malah kebajikan masyarakat pelbagai kaum yang menjadi asas kekuatan politik negara.

“Ini adalah masa sesuai bagi semua pemimpin supaya tidak hanya fokus kepada hanya satu kaum tertentu sahaja sebaliknya mereka perlu fokus kepada usaha menjaga kepentingan semua kaum sebagai asas kekuatan parti politik masing-masing.

“Ini penting kerana jatuh dan bangunnya serta kekuatan sesebuah kerajaan bergantung kepada sokongan dari peringkat akar umbi,” katanya seperti dilaporkan PNBBC Portal hari ini.

Bersatu kaum Mahathir Mohd Rais
MAHATHIR MOHD RAIS

Beliau menambah, Bersatu juga tidak boleh lagi bersembunyi di sebalik perancangan yang nampak sempurna di atas kertas namun hakikat sebenarnya adalah berbeza.

Mahathir memberitahu, semua pemimpin Bersatu perlu melihat dan mengkaji realiti politik semasa serta mengambil kira pandangan akar umbi parti sebelum membuat sebarang keputusan muktamad.

Katanya lagi, pemimpin politik juga harus ingat bahawa jatuh bangun mereka adalah bergantung kepada kehendak akar umbi.

Malah, Mahathir berkata, sejarah sudah membuktikan bahawa keakraban hubungan rapat antara pemimpin dan akar umbi membolehkan Barisan Nasional (BN) kekal memerintah selama lebih 60 tahun.

Dalam perkembangan sama, beliau mencadangkan agar Bersatu memberi lebih banyak ruang kepada golongan muda untuk memainkan peranan penting dalam PRN Melaka dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *