Oleh RIZQI ZABIDI
UMNO sehingga ke hari ini masih belum membuat keputusan rasmi sama ada mahu bergerak secara solo atau terus menjalin kerjasama bersama-sama Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka nanti.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perkara itu langsung langsung pernah diputuskan oleh Majlis Tertinggi (MT) parti sebelum ini.
“Mesyuarat MT pada tiga hari lepas juga tidak memutuskan mengenai perkara itu. Sebab itu anda tak lihat sebarang kenyataan dibuat berhubung perkara tersebut.
“Sekiranya diadakan pun, PRN itu mungkin akan berlangsung sebulan atau dua bulan dari sekarang. Jadi kita masih ada masa lagi dan UMNO serta BN akan mencari kaedah terbaik untuk Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai Majlis Pekebun Kecil Makmur Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) di Dewan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Naka di Padang Terap, hari ini.
Sebelum ini Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyatakan UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan bertanding secara bersendirian pada PRN Melaka tanpa kerjasama parti lain termasuk Pas yang menjadi sekutunya dalam Muafakat Nasionla ataupun Bersatu.
Menerusi wawancara dalam program program ‘Jawab, Saya Tanya’ bertajuk ‘PRU15: Membentuk Atau Membina Arus?’ yang disiarkan secara dalam talian, Ahmad Zahid berkata, antara faktor yang menyebabkan tiada kerjasama dalam PRN tersebut adalah MN sendiri tidak pernah didaftarkan.
Justeru kata Ahmad Zahid, beliau tidak nampak ada cahaya terang untuk MN direalisasikan sebagaimana beberapa pilihan raya kecil sebelum ini.
Mahdzir menambah, keputusan berhubung perkara itu akan dibincangkan Majlis Tertinggi parti apabila tiba masanya nanti.
“Memang Presiden ada buat kenyataan tetapi beliau pulangkan semula kepada Majlis Tertinggi untuk buat keputusan. Dalam mesyuarat baru-baru ini, kita tak buat sebarang keputusan untuk pergi solo atau secara muafakat,” katanya.
Leave a Reply