lori seludup

PGA tahan lori bawa barang runcit seludup

CUBAAN sebuah lori membawa pelbagai barangan runcit seludup bernilai RM14,148 gagal selepas ditahan Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan di Lebuhraya Rantau Panjang-Pasir Mas, Rantau Panjang, Khamis lalu.

Menurut Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA Kuantan, Superintendan Azhari Nusi, pihaknya mengesan lori berkenaan dalam keadaan mencurigakan semasa melakukan rondaan rutin sebelum melakukan serbuan pada jam 7 petang.

Katanya, seorang pemandu lori berusia 21 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung rampasan tersebut.

“Selepas lori tersebut ditahan dan pemeriksaan dilakukan di bahagian belakang kenderaan tersebut menemui beberapa kotak barangan runcit yang diseludup masuk secara haram dipercayai menggunakan laluan tidak diwartakan oleh kerajaan.

“Semasa ditahan pemandu lori gagal mengemukakan dokumen yang sah berkait dengan barang dibawa selepas diminta berbuat demikian.

“Kesemua barangan rampasan dibawa ke Kompeni Taktikal (Komtak) PGA Rantau Panjang untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan berjumlah RM54,148 dan kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Makanan 1983.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *