’’Kami akan susahkan hidup anda’’ – Amaran KJ kepada golongan antivaksin

“PENDEKATAN kita adalah, maaf cakap, kita akan buat hidup anda susah kerana anda tidak divaksin kerana anda memilih untuk enggan divaksin.”

Demikian peringatan tegas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin khusus buat golongan antivaksin yang masih berdegil, enggan menerima vaksin COVID-19.

Menurut beliau, kerajaan juga sedang mempertimbangkan untuk mewajibkan saringan secara mingguan kepada mereka dan kosnya perlu sendiri ditanggung, bukan melalui dana kerajaan.

Tegasnya, meskipun vaksin tidak diwajibkan namun kerajaan tidak akan ‘memberi muka’ kepada golongan antivaksin kerana mereka sendiri memilih untuk menolak vaksin.

 “Kalau anda tidak divaksin kerana masalah kesihatan, tidak mengapa. Kita akan beri pengecualian dengan memberikan e-sijil MySejahtera tapi kalau anda sendiri memilih untuk tidak divaksin, kita akan ‘menyusahkan’ hidup anda.

“Kita akan terus sukarkan hidup anda, tidak boleh makan di restoran, tidak boleh pergi ke pusat beli-belah,” katanya pada sidang media selepas pelancaran 11th National Acute Myocardial Infarcation Course (NAMIC) 2021 di Kuala Lumpur, hari ini, lapor Astro Awani.

Tambah beliau, isu tersebut terus dibangkitkan apabila beliau melihat wujudnya kebimbangan dalam kalangan ibu bapa yang gusar untuk menghantar anak mereka ke sekolah memandangkan terdapat guru yang enggan divaksin.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *