PADAH melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan ‘dine in’ di sebuah bar dan restoran meskipun belum lengkap divaksin, enam pelanggan di Georgetown, Pulau Pinang dikompaun masing-masing RM2,000.
Turut dikenakan kompaun ketika pemeriksaan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPD TL) kira-kira pukul 10.50 malam menerusi Operasi Op Pemantauan dan Pematuhan itu ialah pemilik premis berkenaan sebanyak RM10,000.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kesemua yang dikompaun terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita masing-masing berusia 23 hingga 37 tahun.
“Tindakan kompaun itu dilakukan mengikut Peraturan 16(1) Kawalan Pergerakan Penyakit Berjangkit dan hukuman di Bawah Peraturan 17(1) Peraturan sama dan Peraturan-Peraturan Penyakit Berjangkit berdasarkan nilai magnitud jadual kesalahan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu tambah Soffian, beliau menasihati orang ramai supaya terus mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan demi membantu memutuskan rantaian penularan pandemik Covid-19 di negara ini.
Leave a Reply