vaksin

Antivaksin..hentikanlah ‘kerja bodoh’, jangan jadi penghasut kerana kejahilan sendiri

WALAUPUN pelbagai kluster akibat penularan Covid-19 semakin berkurangan dan semakin dapat dikawal tetapi satu lagi ‘kluster’ yang mungkin akan terus wujud biarpun pandemik tersebut berakhir.

Kalau ‘kluster’ ini menyusahkan diri sendiri, lantaklah…tetapi masalahnya ‘kluster’ ini turut menyusahkan dan merimaskan orang lain. Ia termasuk terus menyebar dakyah mengenai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). ‘Kluster’ yang penulis maksudkan ialah ‘kluster antivaksin’.

Soal mereka berasa ‘kebal’ dan menganggap hak mereka sama ada mahu menerima suntikan vaksin atau tidak, silakan sahaja tetapi jangan ada antara mereka melakukan ‘kerja-kerja bodoh’ dengan menghasut dan menyebarkan berita palsu berhubung program vaksinasi tersebut.

Bagi penulis, kelompok antivaksin yang melakukan perbuatan itu ada golongan ‘bermasalah’. Walaupun sudah berbuih-buih pandangan diberikan, biarpun pelbagai fakta dibentangkan dan sudah beribu-ribu para alim ulama telah memberi fatwa serta nasihat  tetapi ‘kluster antivaksin’ terus aktif.

Kalau mereka mahu menjadi ‘kelompok kera sumbang’ yang segala pergerakan terbatas memandangkan peraturan lengkap dua dos vaksinasi bukan sahaja dilaksanakan di negara ini tetapi juga negara lain termasuk Arab Saudi, teruskanlah tetapi kenapa mahu ‘meracuni’ pemikiran orang lain.

Dalam soal ini, penulis tidak salahkan mereka yang tidak divaksin kerana masalah kesihatan atau masih mempertimbangkan sama ada mahu menerima atau tidak suntikan tersebut tetapi yang penulis persoalkan ialah kelompok yang awal-awal lagi menolak vaksinasi disebabkan ‘teori tidak masuk akal’ mereka.

Malang ada antara mereka yang bukan sahaja terdiri daripada golongan cerdik pandai tetapi juga tahu hukum hakam agama. Tetapi entah mengapa mereka terhumban dalam ‘kluster antivaksin’ tersebut.

Penulis tidak faham apa lagi kelompok ini mahukan apatah lagi jika mereka beragama Islam.

Apa yang perlu diketahui, memetik isi kandungan khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Kebangsaan (JAIS)  hukum penggunaan vaksin Covid-19 dalam kalangan masyarakat Islam diputuskan harus dan wajib diambil selaras dengan resolusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) ke-10 yang telah bersidang pada 3 Disember 2020.

‘’Ini kerana, keutamaan pencegahan sebelum penularan dapat dibendung dengan lebih menyeluruh. Selain itu, pengambilan vaksin dilihat dapat menjaga kebajikan dan kepentingan umum bukan individu tertentu,’’ menurut khutbah tersebut.

Tetapi kenapakah masih ada dalam kalangan yang bijak bab-bab agama masih menolak. Kalau keputusan majlis fatwa pun tidak mahu patuh, kata pakar perubahan pun tidak mahu ikut, kelompok antivaksin ini bijak sangatkah?

Sebab itulah penulis menyokong apa juga langkah kerajaan dalam menangani propaganda kelompk antivaksin dan sekatan yang dikenakan ke atas mereka yang enggan mengambil vaksin.

Buatlah apa sahaja demi kebaikan rakyat dan negara pedulikan hak asasi kelompok antivaksin dan mereka yang enggan mengambil vaksin.

Penulis percaya ada dalam kalangan mereka dahulu ‘kuat melalak’ bila kes Covid-19 tinggi, macam-macam mereka tuduh kerajaan tetapi apabila program vaksinasi dijalankan kerana ia salah satu usaha paling berkesan mengawal wabak tersebut, mereka tidak mahu pulak divaksin.

Jadi kalau kerajaan dok melayan puak-puak ni sampai ke sudahpun masalah tidak boleh selesai. Justeru jangan pedulikan kelompok tersebut. Tiada sesiapa memaksa mereka menjadi kelompok jumud dan dipinggirkan, sebaliknya itu pilihan mereka.

Kalau mereka berasa boleh meneruskan kehidupan tanpa divaksin, teruskanlah…mungkin mereka sudah tidak berminat untuk solat berjemaah di masjid dan surau, mungkin mereka sudah bosan makan di restoran, mungkin mereka memang tiada lagi hasrat untuk Tanah Suci Mekah, mungkin mereka mahu terperap sahaja di rumah,tidak mahu ke pusat beli belah, tak nak balik kampung menjenguk sanak saudara dan perkara-perkara lain yang mewajibkan lengkap suntikan dos vaksin.

Jika itu pilihan mereka, tak mengapalah kerajaan tidak boleh berbuat apa-apa, tetapi tolong jangan menyusahkan orang lain terutamanya dengan menyebarkan berita palsu.

Jangan menganggap mereka didiskriminasi dan hak asasi mereka dihalang, tiada siapa yang menghalang sebaliknya mereka yang menyebabkan ia terhalang kerana kejahilan sendiri.

Dan ingatlah pesan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, ”Pendekatan kita adalah, maaf cakap, kita akan buat hidup anda susah kerana anda tidak divaksin kerana anda memilih untuk enggan divaksin.”


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *