AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan dua buah bot tunda beserta dua tongkang (barge) kerana gagal mengemukakan dokumen kapal serta insuran petang semalam.
Kedua-dua bot tunda serta barge itu ditahan bot ronda Maritim Malaysia dalam Op Pertiwi pada jarak 0.3 batu nautika barat laut Sungai Pinang dan 1.1 batu nautika Pantai Bersih kira-kira pukul 4.30 hingga 5.45 petang.
Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kapten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot tunda pertama serta barge dikendalikan tujuh kru termasuk nakhoda terdiri daripada dua warga tempatan, dua warga Bangladesh dan tiga warga Indonesia yang kesemuanya berumur antara 21 hingga 42 tahun.
Sementara itu tambahnya, bot tunda kedua serta barge dikendalikan tujuh kru termasuk nakhoda terdiri daripada dua warga tempatan, dua warga Bangladesh dan tiga warga Indonesia yang masing-masing berumur antara 19 hingga 40 tahun.
“Bot dan kesemua mereka ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen kapal serta insuran semasa pemeriksaan dilakukan.
“Pemeriksaan ke atas kru warga asing yang ditahan mendapati kesemua mereka memiliki dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, kes itu akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan bot serta kesemua mereka ditahan untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua pemilik kapal serta nakhoda sentiasa mematuhi peraturan di laut dan Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mereka yang melanggar undang-undang Persekutuan sedia ada.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut boleh segera menghubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang menerusi talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999.
Leave a Reply