Lebih 3,000 pelajar UUM kembali ke kampus mulai hari ini

Oleh RIZQI ZABIDI

LEBIH 3,000 mahasiswa baharu dan lama dijangka kembali ke kampus Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok dalam tempoh tiga hari bermula hari ini.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UUM, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, kalangan mahasiswa itu akan memasuki kampus secara berperingkat bagi memastikan aturan perjalanan mereka berjalan lancar.

Katanya, pada hari ini, kira-kira 800 pelajar dari negeri-negeri utara iaitu Kedah, Perlis dan Pulau Pinang akan mula kembali ke kampus diikuti pelajar dari negeri-negeri tengah dan selatan semenanjung pada esok.

“Lusa, kita akan menerima kedatangan mahasiswa dari negeri pantai timur pula manakala kalangan pelajar dari Sabah dan Sarawak, diberi tarikh terbuka hingga hujung bulan ini.

“Kita akan menyediakan kenderaan untuk membawa mahasiswa yang berasal dari Sabah dan Sarawak untuk ke UUM selepas mereka turun di lapangan terbang. Bagi mahasiswa antarabangsa pula, kita akan menyediakan kenderaan untuk mereka juga dari pusat kuarantin ke UUM,” katanya.

Beliau yang menjalankan fungsi Naib Canselor UUM berkata demikian kepada pemberita selepas membuat tinjauan urusan kembali ke kampus bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prod. Madya Dr. Hendrik Lamsali hari ini.

Mengulas lanjut katanya, proses kemasukan mahasiswa ke kampus itu dijangka hanya mengambil masa kira-kira 30 minit sebaik saja mereka melepasi pintu pagar utama UUM.

Katanya, kalangan mahasiswa akan terlebih dulu menjalani ujian pengesanan Covid-19 di kawasan meletak kereta Pusat Islam UUM sebelum dibenarkan bergerak ke inapan siswa (Inasis) masing-masing.

“Di Inasis itu nanti, para waris mahu pun ibu bapa mahasiswa tersebut tidak dibenarkan turun dari kenderaan masing-masing sebaliknya mereka akan dibantu oleh kalangan sukarelawan terdiri daripada warga UUM.

“Kalangan sukarelawan ini terdiri daripada mereka yang sudah berpengalaman. Ini merupakan antara cara bagaimana kita mahu menjamin keselamatan semua pihak di sepanjang proses kemasukan mahasiswa bagi sesi akademik kali ini,” katanya.

Dalam pada itu seorang mahasiswi, Lee Min Choi, 20 berkata, dia amat teruja untuk memulakan sesi pengajian di UUM memandangkan gedung ilmu tersebut sememangnya menjadi pilihan pertama ketika dia dan rakan-rakan membuat permohonan di laman web UPUOnline sebelum ini.

“Di sini saya akan melanjutkan pengajian dalam Statistik Industri. Apabila melangkah ke sini, saya merasa seronok kerana universiti ini kelihatan cantik dan menarik.

“Saya dan rakan-rakan yang mendaftar hari ini yakin dengan tahap keselamatan di sini dan tidak terlalu bimbang mengenai COvid-19. Apa yang penting, kami perlu sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) walau di mana saja kami berada,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *