Kejayaan Malaysia kemenangan kepada kepelbagaian pemikiran urus hak asasi – CENTHRA

KEJAYAAN Malaysia mendapat tempat dalam Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi gambaran jelas bahawa komuniti antarabangsa berbeza pandangan dan idea tentang cara terbaik menguruskan hak asasi manusia.

Pada masa sama, ia juga disifatkan sebagai kemenangan kepada kepelbagaian pemikiran yang penting dalam dunia yang semakin membangun.

Perkara tersebut diutarakan Pengasas Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), Azril Mohd. Amin dalam kenyataan hari ini.

Namun begitu, kata beliau, tugas Malaysia ketika ini tidak terhenti setakat itu sahaja tetapi perlu terus mempromosi pemahaman negara mengenai hak asasi manusia dan bagaimana perkara itu harus didekati.

Menurut Azril, kita perlu memulakan dialog dan memupuk pemahaman tentang bagaimana isu yang dikatakan sensitif dan taboo harus didekati mengambil kira nilai-nilai kolektif sebagai sebuah negara.

“Bagaimanapun, saya percaya dunia akhirnya mula menyedari bahawa pendekatan universal lama yang dikemukakan Barat tidak dapat dipertahankan dan relativiti budaya adalah caranya.

“Sudah sampai waktunya kita bergerak maju daripada pandangan sempit mengenai hak asasi manusia berdasarkan hanya Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia kepada mempertimbangkan juga Deklarasi Kaherah mengenai Hak Asasi Manusia dalam Islam dan Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN.

“CENTHRA berharap dapat bekerjasama dengan kerjaaan dan rakyat Malaysia dalam memastikan tempoh negara dalam Majlis Hak Asasi Manusia PBB itu sebagai peluang menunjukkan kepada dunia bagaimana hak asasi manusia dapat berfungsi selaras dengan kepercayaan dan tradisi tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Malaysia berjaya meraih 183 undi untuk mengisi satu daripada 18 kerusi Majlis Hak Asasi Manusia PBB bagi penggal 2022-2024.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam hantaran di laman Facebooknya malam tadi berkongsi berita gembira itu.

“Kejayaan Malaysia menduduki kerusi Majlis Hak Asasi Manusia PBB merupakan pencapaian yang hebat dan pengiktirafan kepada status hak asasi manusia,” katanya yang turut mengucapkan tahniah atas pencapaian itu.

Beliau berkata Malaysia sedia memainkan peranan aktif seperti menjadi pemudah cara bagi rundingan damai, pemboleh kerjasama dan pembina konsensus.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *