Awas, perangkap maut di pantai Terengganu

Oleh MOHD LAZIM ENDUT

SEJAK kebelakangan ini kebanyakan lokasi pantai di Terengganu semakin meriah dikunjungi orang ramai.

Malah, boleh dikatakan jajaran pantai sepanjang 244 kilometer bermula dari Besut hingga ke Kemaman yang memiliki keindahan semula jadi dengan percikan air laut dan pasir memutih seakan menjadi satu fenomena baharu bagi masyarakat di negeri ini.

Kalau dahulu, kebanyakan pengunjung pantai adalah terdiri daripada warga kota atau anak negeri yang pulang bercuti ke kampung halaman, kini trend tersebut sudah berubah.

Ini kerana, suasana pantai yang suatu ketika dahulu hanya berpenghuni setiap kali tibanya musim perayaan, cuti umum dan juga cuti hujung minggu, kini turut meriah setiap petang setelah ia turut menarik perhatian komuniti setempat.

Tinjauan WartaRakyat di pantai seberang, pantai Rhu Muda dan Pantai Kelulut, Marang mendapati rata-rata pengunjung begitu seronok mengadakan aktiviti mencari remis, ketam dan kepah sambil mandi manda tanpa memakai jaket keselamatan atau pelampung.

Apa yang membimbangkan, terdapat juga kumpulan kanak-kanak kecil yang mandi manda di laut tanpa pengawasan orang dewasa khususnya ibu bapa.

Mereka kelihatan begitu seronok melakukan aktiviti tersebut tanpa menghiraukan soal keselamatan, selain tidak mengetahui keadaan laut itu sendiri termasuk dari segi kederasan arus, air pasang surut dan juga saiz ombak.

Inilah yang dinamakan perangkap maut kerana di sebalik keindahan pantai yang melandai itu turut tersimpul bahayanya.

Sebab itulah, setiap kali musim perayaan atau cuti umum, kejadian mati lemas ketika mandi manda di laut sentiasa berlaku.

Bagi penduduk setempat yang tinggal di tepi pantai mungkin tiada masalah kerana sudah menjadi kebiasaan, tetapi perkara ini amat merbahaya kepada mereka yang tidak tahu mengenai laut.

Berdasarkan beberapa kejadian mati lemas yang dilaporkan sebelum ini, kebanyakan mangsa bukan penduduk setempat di sesuatu lokasi pantai terbabit.

Dalam kejadian terbaharu mangsa lemas adalah melibatkan dua beradik bersama sepupu ketika mencari kepah yang dilaporkan berlaku di pantai Kampung Mangkuk, Setiu pada minggu lalu.

Mangsa yang tinggal di Kampung Losong itu dikatakan telah pergi ke pantai berkenaan bersama keluarganya semata-mata untuk mencari kepah sambil mandi-manda.

Oleh itu, bagi pengunjung dan penggemar pantai, berhati-hatilah ketika ingin mengadakan aktiviti di pantai Terengganu khususnya ketika mandi manda di laut, usah terperangkap dengan ketenangan dan kejernihan airnya kerana alunan ombaknya boleh meragut nyawa.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *