Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
SEPASANG suami isteri masih trauma dengan insiden sebuah kereta yang merempuh tembok belakang rumahnya hingga roboh di Taman Megah Ria, Johor Bahru, Rabu lalu.
Menurut Ng Poh Lian, 40, walaupun kemalangan pada jam 1.30 pagi itu tidak mencederakannya dan suami, Won Che Bok serta tiga anaknya, insiden tersebut masih meninggalkan kesan sehingga kini.
Menceritakan perisitwa itu, suri rumah tersebut berkata, semasa kejadian mereka lima beranak sedang tidur sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman yang sangat kuat.
“Rempuhan itu menyebabkan tembok dinding setinggi lebih dua meter dengan panjang 20 meter itu roboh dan mengakibatkan tingkap dua bilik anak perempuannya turut pecah.
“Jika diingatkan semula, saya terjaga daripada tidur disebabkan bunyi kereta menekan brek yang kuat disusuli bunyi hentaman yang mengejutkan kami sekeluarga,” katanya ditemui pemberita di rumahnya, hari ini.
Katanya, kereta Honda yang dipandu seorang lelaki itu melanggar pokok-pokok kecil sebelum merempuh dinding dan keadaan tersebut mengurangkan sedikit hentaman pada bahagian tembok tersebut.
Pada masa kejadian ujarnya, rumahnya yang terletak berhampiran Lebuhraya Pasir Gudang dari arah Permas Jaya dalam keadaan gelap setelah lampu jalan sudah lebih setahun tidak berfungsi.
Bagaimanapun dia dan suami bersyukur kerana keluarganya selamat kerana semasa kejadian ketiga-tiga anaknya tidur di ruang tamu kerana pada masa itu terputus bekalan elektrik.
“Jika tidak, saya tidak tahu apa yang berlaku terhadap mereka,” katanya dan pemandu berkenaan hanya cedera ringan dirawat di Hospital Sultan Ibrahim (HSI) Johor Bahru.
Dia dan suaminya, Won Che Bok, runsing setelah terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM60,000 selain bimbang akan keselamatan anak-anaknya selain bilik anaknya yang berusia 16 hingga 18 tahun itu dikosongkan.
“Lebuh raya ini laluan utama kenderaan termasuk kenderaan berat dengan kelajuan 80 kilometer sejam. Setiap kali kenderaan berat melalui lebuh raya di belakang rumah, pastinya kami ketakutan bimbang kejadian sama berulang.
“Apa yang saya harapkan sekarang ini ialah agar pihak berwajib dapat memasang penghadang jalan raya di kawasan belakang rumah kami selain memastikan lampu jalan berfungsi,” ujarnya.
Dia mendakwa telah membuat aduan kepada pihak berwajib untuk menyelesaikan masalah ini tetapi sehingga kini mereka tidak ada jawapan dan jaminan diberikan.
Leave a Reply