Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
LEBIH 100 kawasan perumahan, kampung, kawasan perindustrian dan pejabat kerajaan mengalami gangguan bekalan air akibat dua unit transformers di Loji Air Semangar, Jalan Kulai-Kota Tinggi dekat sini terbakar semalam.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Ranhill SAJ Sdn. Bhd., kebakaran tersebut sudah dipadamkan pihak bomba dan pihaknya kini sedang melakukan kerja-kerja pembaikan.
“Kebakaran mengakibatkan loji henti tugas dan berlaku gangguan bekalan air luar jangka di beberapa kawasan seperti dinyatakan.
“Pihak SAJ sedang sedaya upaya bersama-sama pihak berkaitan untuk menyelesaikan permasalahan ini bagi memastikan kawasan terjejas menerima bekalan air bersih secara berperingkat-peringkat,” demikian menurut kenyataan itu.
SAJ memberitahu, berdasarkan maklumat terkini, sekiranya kerosakan berjaya dibaiki dalam masa terdekat, anggaran tempoh pemulihan bekalan air adalah 12 jam selepas loji dioperasikan semula dengan kapasiti penuh.
Antara kawasan terlibat di Kempas, Skudai, Senai, Austin, Pulai, Gelang Patah, Iskandar Puteri, Sedenak, Seelong dan Kulai.
SAJ memaklumkan, antara kawasan terlibat Bandaraya Iskandar Puteri; Forest City; Taman Tema Legoland; Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS); Bandar Pulai Jaya; kawasan perindustrian dan taman perumahan.
Begitu juga pejabat kerajaan seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM); Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Jabatan Laut Marin dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di Iskandar Puteri.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Penolong Kanan Penguasa Azman Jantan berkata, seramai 12 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.
Katanya, mereka dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perhidmatan Kecemasan (EMRS) dan satu kenderaan utiliti Pajero dikejarkan ke tempat kejadian.
“Pihak bomba menerima laporan kejadian tersebut pada pukul 2.57 petang. Kebakaran dua unit transformers itu berlaku dalam bilik dan tidak melibatkan kecederaan atau kemalangan jiwa.
“Bilik berkenaan telah terbakar 80 peratus. Kebakaran telah mengakibatkan kesan jelaga pada bilik tersebut. Operasi tamat pada pukul 4.45 petang. Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Leave a Reply