SEBAHAGIAN daripada Kuil Kek Lok Si yang merupakan antara monumen bersejarah berusia lebih 130 tahun di Air Itam, Pulau Pinang musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu melibatkan ruang sembahyang di kuil yang popular dalam kalangan pelancong tempatan dan antarabangsa berkenaan dengan kemusnahan hampir 70 peratus.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong, Mohd. Shakir Abdullah, pihaknya yang menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada pukul 2.56 pagi menggerakkan seramai 15 anggota termasuk bantuan dari BBP Jalan Perak ke lokasi kejadian untuk membantu memadamkan kebakaran.

Menurut beliau, anggota bomba turut berdepan kesukaran memadamkan api kerana lokasi tokong itu yang terletak di atas bukit.
“Jentera kita mempunyai ketinggian sehingga lima meter, namun pintu gerbang di tokong itu hanya berketinggian empat meter.
“Sehubungan itu, anggota kita terpaksa meletakkan jentera di luar dan berjalan kaki sehingga 600 meter untuk ke lokasi kejadian selain kesukaran mendapatkan sumber air,” katanya kepada pemberita hari ini.
Mohd. Shakir berkata, ketika kejadian, terdapat empat penjaga tokong, namun tiada mangsa yang dilaporkan terbabit dan punca kejadian masih dalam siasatan.
Leave a Reply