Polis siasat dakwaan ugutan jenayah libatkan pegawai kanannya

POLIS Kontinjen Selangor mengesahkan menerima satu laporan mengenai kes ugutan jenayah melibatkan pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintenden (DSP) yang sedang tular menerusi media sosial. 

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, mangsa dalam kejadian itu merupakan seorang wanita berumur 36 tahun yang mendakwa diugut dan dicederakan kerana ingin meminta semula wang yang telah dipinjamkan kepada pegawai kanan polis berkenaan.

“Hasil siasatan yang dijalankan, polis telah menahan dua individu yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut (ugutan jenayah) dan kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Arjunaidi menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi berkaitan kejadian tersebut dan berhenti menyebarkannya menerusi media sosial kerana kes itu sedang dalam siasatan polis.  

“Polis Kontinjen Selangor memberi jaminan akan melakukan siasatan secara telus dan terperinci serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak termasuk pegawai dan anggota polis yang melakukan kesalahan dan melanggar undang-undang,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *