terminal rentas negeri

Rentas negeri: Terminal bas lengang, trafik lebuh raya lancar

PERGERAKAN rentas negeri yang dibenarkan bermula hari ini terkawal dengan laluan beberapa lebuh raya utama menghubungkan negeri di utara, selatan, pantai timur dan pantai barat lancar memandangkan kebanyakan rakyat bekerja.

Keadaan lancar itu dipaparkan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) laman sesawang Jalannow.com malah tinjauan Bernama di beberapa terminal bas utama negeri-negeri juga mendapati suasana lengang.

Di Terminal Bas Hentian Duta, di sini, petugas kaunter Norhanna Mohd Rapi berkata jualan dan tempahan tiket daripada orang ramai masih belum menggalakkan dan menjangkakan keadaan itu akan berubah menjelang hujung minggu ini dan minggu hadapan.

“Kami menjangkakan jualan tiket hanya akan mula meningkat bermula minggu depan atau hujung minggu ini memandangkan orang ramai masih bekerja dan belum membuat persediaan seperti memohon cuti dan sebagainya,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pengawal keselamatan di sebuah syarikat swasta, Siti Samirah Sundar Nandagopal, 40, ketika ditemui di terminal bas berkenaan berkata kelonggaran yang diberikan kerajaan dimanfaatkannya untuk pulang ke kampung bertemu keluarga di Sitiawan, Perak.

“Saya berasa gembira dengan kebenaran ini selepas menanti lebih lapan bulan untuk menziarahi keluarga di kampung. Saya terus datang hari ini bagi membeli tiket lebih awal untuk pulang ke kampung pada Sabtu ini dan tidak sabar ingin bertemu keluarga kerana selama ini saya berhubung menerusi panggilan telefon sahaja,” katanya.

Di SELANGOR, tinjauan di Terminal Bas Seksyen 17, Shah Alam dan Terminal A Klang Sentral, Klang, turut mendapati kedua-dua terminal itu lengang.

Pengurus Jualan Tiket Berpusat (CTS) Mohd Muzammil Mohd Alias ketika ditemui menjangkakan jualan tiket bas pada minggu ini masih perlahan berikutan orang ramai bekerja.

Di PULAU PINANG, pekerja kaunter tiket bas di Butterworth, Rusliana Mohd Pirus berkata pihaknya mula menerima tempahan tiket bas ekspres bagi perjalanan ke beberapa negeri dan menjangkakan ia meningkat sehingga 50 peratus pada hujung minggu ini.

“Paling banyak tempahan adalah untuk perjalanan ke negeri-negeri pantai timur dan saya difahamkan beberapa pengusaha bas ekspres juga akan menambah jumlah bas bermula hujung minggu ini bagi menampung peningkatan penumpang,” katanya.

Di NEGERI SEMBILAN, penjawat awam negeri Siti Amalina Hasfan, 31, berkata kebenaran kerajaan itu digunakannya untuk pulang ke kampung di Kuala Terengganu, Terengganu hari ini bagi menziarahi ibunya dan telah melakukan ujian kendiri COVID-19 demi keselamatan keluarga.

Di MELAKA, Timbalan Ketua Polis Melaka SAC Razali Abu Samah berkata pihaknya menjangkakan kemasukan kenderaan ke negeri itu meningkat kepada 35,000 hingga 45,000 sehari menjelang hujung minggu ini berbanding 19,000 sehari sebelum ini.

Beliau berkata pihaknya akan meneruskan pemeriksaan di tempat tumpuan pelancong bagi memastikan masyarakat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Di KELANTAN, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Mohd Wildan Azhari menjangkakan jumlah pengunjung di kawasan rekreasi seperti air terjun, sungai dan pantai di negeri itu akan meningkat.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak leka dengan memberi tumpuan kepada aspek keselamatan bagi mengelak kejadian tidak diingini seperti lemas atau fenomena kepala air.

Di TERENGGANU, tinjauan di beberapa lokasi tumpuan orang ramai seperti Pasar Payang, Kuala Terengganu City Centre Mall (KTCC) dan Taman Rekreasi Pantai Batu Buruk mendapati tiada kesesakan pengunjung.

Seorang peniaga makanan di Pasar Payang, Nor Azmah Ngah, 53, berkata kehadiran pengunjung ke lokasi itu masih terkawal sejak pagi meskipun lebih ramai berbanding hari biasa manakala peniaga batik dan sutera, Norlela Asyikin Mohd Azhari, 37, pula menjangkakan keadaan di kawasan itu akan mula sibuk pada hujung minggu ini apabila warga kota mula pulang ke kampung halaman.

Sementara itu, seorang pengusaha inap desa di Pantai Batu Buruk, Ahmad Faisal Hafiz Mansor berkata tempahan inap desanya untuk tempoh dua minggu akan datang telah pun penuh.

Di PERAK, tinjauan di tempat tumpuan utama seperti Pulau Pangkor dan pusat beli-belah di sini juga masih tenang dan terkawal.

Di JOHOR, Terminal Bas Larkin Sentral, yang sebelum ini menjadi tumpuan ‘perantau’ untuk pulang ke kampung halaman dari bandar raya ini, dijangka menerima kehadiran penumpang bas ekspres mencecah 3,000 orang sehari menjelang hujung minggu ini.

Pengurus Bangunan Larkin Sentral Mohd Helmi Mohd Affendi berkata jumlah penumpang bas ekspres pada hujung minggu ini dijangka akan bertambah sehingga 3,000 penumpang sehari berbanding sekitar 80 penumpang sehari sebelum ini.

Eksekutif Teknologi Maklumat Amira Azlan, 25, berkata persiapan untuk pulang ke kampungnya di Kuala Terengganu telah dilakukan sejak seminggu lepas berikutan berita mengenai kebenaran merentas negeri kerap muncul menerusi media sosial sejak kebelakangan ini.

“Sudah dua tahun tak boleh balik, jadi apabila Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) umumkan semalam (kebenaran merentas), saya terus maklumkan kepada keluarga. Rasa gembira dan teruja kerana terlalu rindu keluarga…saya juga telah memohon cuti selama seminggu,” katanya.

Semalam, Ismail Sabri dalam sidang media khas dilaporkan berkata kerajaan bersetuju membenarkan individu yang sudah lengkap vaksinasi COVID-19 melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis bermula hari ini.

Perdana Menteri berkata keputusan itu dibuat berikutan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) telah mencapai 90 peratus. – BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *