Van rempuh kerbau

Penumpang tersepit, van remuk teruk selepas rempuh kerbau

Oleh RIZQI ZABIDI

MEREKA dalam perjalanan pulang selepas selesai mencari rezeki di pasar malam namun tanpa disangka van dinaiki merempuh seekor kerbau di Labu Besar-Malau, Kulim, malam tadi.

Rempuhan itu menyebabkan van dipandu lelaki berusia 47 tahun remuk teruk di bahagian hadapan manakala anak perempuannya berusia 24 tahun pula tersepit di tempat duduk penumpang.

Bagaimanapun, mujur dua beranak terbabit tidak mengalami kecederaan serius dengan si anak yang tersepit hanya cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Sazalee Adam berkata, pihaknya menerima panggilan daripada oran awam yang memaklumkan berhubung kemalangan terbabit dan anggota polis terus bergegas ke lokasi.
 

“Maklumat yang diterima mengatakan sebuah van terbabit dalam kemalangan dengan seekor kerbau dan sebaik tiba kita mendapati kenderaan itu berada di tepi jalan.
 

“Bagaimanapun, pemandu dan penumpang van sudah tiada di lokasi kemalangan terbabit dan pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan berkenaan mengalami kerosakan teruk di hadapan akibat terlanggar kerbau,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
 

Menurutnya, hasil siasatan mendapati van dinaiki seorang lelaki bersama-sama anak perempuannya itu dalam perjalanan pulang dari arah Labu Besar menuju ke Kampung Bikan selepas selesai berniaga di pasar malam.

“Hasil keterangan daripada beberapa saksi mendakwa yang anak perempuan pemandu van berkenaan tersepit dalam kenderaan itu namun berjaya dikeluarkan dengan bantuan orang ramai.

“Mangsa dikejarkan ke Hospital Kulim dan menerima rawatan sebagai pesakit luar,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *